Timbalan Ketua Pengarahnya (Promosi Antarabangsa), Datuk Azizan Noordin berkata, daripada jumlah itu, dianggarkan seramai 20,000 pelancong adalah dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berbanding hanya 15,000 pelancong negara terbabit pada tahun lalu.

Kata beliau, pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai walaupun Malaysia Airlines (MAS) tidak lagi membuat penerbangan ke UAE.

"Kita mempunyai kerjasama dengan penerbangan UAE iaitu Emirates dan Etihad ke Malaysia. Kementerian melihat potensi besar dari negara-negara Arab khususnya UAE dalam industri pelancongan," katanya ketika ditemui di pameran Pasaran Pengembaraan Arab di sini, hari ini.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan melancarkan buku Panduan Pelancongan Malaysia yang diterbitkan oleh Kumpulan Antarabangsa Media Hab (Malaysia dan UAE) semasa pemeran tersebut berlangsung.

Baginda ke UAE setelah menerima jemputan daripada Majlis Emiriyah Fujairah untuk menyampaikan ucaptama Pameran Pendidikan dan Kerjaya Antarabangsa di daerah itu semalam.

Yang turut hadir, Duta Besar Malaysia ke UAE, Datuk Ahmad Anwar Adnan dan Pengerusi Kumpulan Antarabangsa Media Hab (Malaysia dan UAE), Dr. Abdulrahim Abdulwahid.

Dalam pada itu, Malaysia menyertai pameran buat kali ke-23 tahun ini dengan penglibatan seramai 77 organisasi dan 124 wakil daripada hotel, ejen pelancongan swasta dan negeri.

Menurut Azizan, Pasaran Pengembaraan Arab yang dijalankan bermula 25 April sehingga esok itu adalah antara tiga pameran pelancongan yang tidak akan dilepaskan Malaysia selepas acara seumpamanya di Berlin, Jerman (Mac) dan London, United Kingdom (November) setiap tahun.

"Menerusi penyertaan Malaysia di Dubai, kita dapat menarik kedatangan pelancong bukan sahaja dari negara Arab malah Barat kerana kedudukan pusat bandar raya ini yang strategik," katanya.

Tambah beliau, pelancong Arab kini tidak lagi tertumpu di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan Genting Highlands, Pahang tetapi sudah beralih ke Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak berikutan promosi yang dijalankan kementerian tersebut.