Sepanjang kehadiran finalis-finalis itu di negara ini bermula semalam, pelbagai program dan aktiviti disusun yang secara tidak langsung, menonjolkan keunikan tarikan pelancongan di Malay­sia.

Presiden Miss Tourism International, Tan Sri Danny Ooi berkata, pertandingan tersebut menyokong usaha mempromosikan pelancongan negara selaras dengan tema Malaysia Truly Asia.

“Pertandingan akhir Miss Tourism International 2016 me­ru­pakan edisi ke-19 dianjurkan sejak pertama kali diadakan di Kuching, Sarawak pada 1994,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam. Yang hadir sama, Ketua Pe­ngarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab.

Majlis berkenaan turut memperkenalkan 60 finalis yang menampilkan keunikan dan keindahan negara masing-masing. Wakil Malaysia dalam pertandingan dunia itu ialah anak kelahiran Melaka, Ng Shin Ying, 20, yang merupakan Miss Malaysia Tourism 2016/17.

Menurut Danny, gelaran utama yang menjadi rebutan para finalis dalam pertandingan tersebut adalah Miss Tourism Queen of the Year International.
“Lima gelaran lain adalah Miss Tourism International, Miss Tou­rism Global, Miss Tourism Cosmopolitan International, Dreamgirl of the Year International dan Miss South East Asia Tourism Ambassadress,” katanya.

Antara aktiviti yang telah disusun sepanjang kehadiran mereka sebelum tarikh pertan­dingan termasuklah lawatan ke lokasi-lokasi pelancongan di sekitar ibu negara serta Pulau Langkawi.