Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, antara usaha itu dengan mempertingkatkan infrastruktur dan kemudahan sokongan di kawasan eko dan agro pelancongan seperti jalan masuk, papan tanda, ke­selamatan dan sebagainya.

“Kita juga akan memperhebatkan kempen promosi dan pemasaran dengan merangka pelan tindakan yang bersepadu agar lebih berkesan melalui penerbitan risalah eko dan agro pelancongan, penyertaan dalam pameran pelancongan dan program lawatan pengenalan.

“Selain itu, pakej-pakej eko dan agro pelancongan yang lebih kreatif akan diperbanyakkan lagi dengan mengenal pasti produk-produk sokongannya,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Abd. Razak Minhat (BN-Serom) dan Norshida Ibrahim (BN-Buluh Kasap) mengenai pencapaian kolaborasi sektor pertanian dan sektor pelancongan serta langkah memperhebatkan sektor agro pelancongan di negeri ini.

Siew Kiong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata, inisiatif lain yang akan dilakukan adalah merangka dan mempelbagaikan aktiviti pelancongan terma­suk menganjurkan acara-acara berkaitan dengan eko dan agro pelancongan.

Katanya, usaha itu termasuk mempertingkatkan mutu per­khid­matan melalui kursus hospitaliti kepada warga kerja di kawasan eko dan agro pelanco­ngan berkenaan.

Ujar beliau, semua usaha itu akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini khususnya ke destinasi eko dan agro pelancongan seperti Desaru Leisure Farm, Kahang Organic Eco-Farm Resort dan Kulai StarFish Leisure Farm.

Justeru, agensi berkaitan seperti Perbadanan Taman Negara Johor, Jabatan Perhutanan negeri, Jabatan Pertanian ne­geri, Tourism Johor serta Pihak Berkuasa Tempatan digesa untuk terus berganding bahu bagi menjayakan usaha berkenaan.