Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, keputusan kerajaan melonggarkan visa pelancong ­asing juga menjadi nilai tambah kemasukan pelancong ke negeri ini.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan pada tahun hadapan, bilangan pelancong dari China, Eropah dan Arab Saudi akan bertambah selain pelancong tradisi dari Jepun, Taiwan, Korea, Afrika dan Indonesia.
“Pelancong daripada negara China merupakan jumlah yang terbesar berkunjung ke negara ini pada tahun lalu kerana mereka menyukai persekitaran dan keadaan alam semula jadi yang menarik.
“Kita menjangkakan, dengan keputusan kerajaan itu, pelancong dari China akan bertambah sekali ganda berikutan rakyat negara itu semakin mengenali Pahang yang mempunyai keunikan yang tidak ada di negara mereka.
“Di sini ada pantai, tasik, bukit, danau dan gunung yang menjadi daya tarikan pelancong negara tersebut kerana di negara mereka tidak terdapat kemudahan seperti itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kayuhan Jelajah Titik Tengah Semenanjung di Dataran Temerloh di sini hari ini.
Yang turut hadir Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Fadzli Mohd. Kenali.
Sementara itu, Mohd. Sharkar berkata, promosi pelancongan jelajah Asia Barat dan Eropah yang dike­tuai Pengurus Hotel Seri Malaysia Temerloh, Datuk Zamri Mohammad bersama 80 anggota sudah mema­suki lima negara iaitu Thailand, Loas, Vietnam, China dan Kemboja.
Katanya, program jelajah selama dua bulan itu akan berada di beberapa buah negara lagi bulan depan termasuk Amerika Syarikat, Afrika dan Arab Saudi bagi memperkenalkan negeri ini secara lebih dekat kepada pelancong luar.