Pengarah Tourism Johor, Edzuar Zar Ayob Azari berkata, sektor pelancongan di negara itu semakin dikenali dan pendekatan bersepadu perlu dilaksanakan dalam perancangan dan pelaksanaan industri tersebut secara mapan di negeri ini.

“Di Johor, sektor pelancongannya sedang berkembang pesat dan pelancongan berasaskan beli belah semakin matang. Ini cukup syarat untuk menarik pelancong luar negara kerana banyak pusat beli belah bertaraf antarabangsa bertapak di Johor.

“Perkara ini dapat mengu­kuhkan Pelan Strategik Pemasaran Pelancongan Johor. Johor memfokuskan sektor pelancongan dan perlu sentiasa bersifat inovatif dan dinamik, seiring peredaran zaman agar sentiasa memenuhi cita rasa pelancong setiap masa.

“Kerajaan Johor juga mahu menarik kedatangan pelancong ber­ulang ke negeri ini,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Simposium Pelancongan dan Hospitaliti Kebangsaan 2016 di Hotel Thistle, di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Canselor dan Presiden Universiti UCSI, Prof. Datuk Dr. Khalid Yusoff; Presiden Malaysia Centre for Hospitality and Tourism Education (MyCenTHE), Prof. Madya Dr. Kashif Hussein; Pengarah Kanan Akademik, Jabatan Pendidikan Politeknik, Azizi Lin dan Timbalan Pengarah Akademik, Politeknik Ibrahim Sultan, Abdul Razak Senan.

Sementara itu, dalam sidang akhbar, beliau berkata, pihaknya berhasrat mengurangkan kebergantungan pekerja asing berkemahiran dalam sektor perhotelan negeri ini yang ketika ini keba­nyakannya dari Filipina.

Beliau berkata, pekerja berkemahiran tempatan iaitu graduan universiti awam dan universiti swasta yang mempunyai sijil dalam bidang itu akan mengisi jawatan tersebut pada masa depan.

Mengenai simposium tersebut, beliau berkata, program itu disertai 250 peserta dari seluruh negara melibatkan pelbagai latar belakang antaranya golongan akademik, penggiat industri pelancongan dan penuntut universiti.

“Antara isu dikupas adalah perkembangan industri pelancongan dan hospitaliti, trend masa hadapan terhadap permintaan tenaga kerja dan penggalakkan penghasilan produk unik untuk industri berkenaan.

“Simposium ini juga mengupas kaedah dan ruang dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan dalam bidang ini. Penghasilan atau penciptaan produk pelancongan yang unik pada masa depan juga dibincangkan,” ujarnya.