Tuesday, July 12, 2016

Taman Negara Bako, Tawar Pengalaman Menarik Kepada Pelancong

Pelancong dari dalam dan luar negara mengambil kesempatan untuk melihat lebih dekat hidupan liar yang terdapat di Taman Negara Bako (Gambar Fail Bernama)
KUCHING, 12 Julai (Bernama) -- Taman Negara Bako menawarkan pengalaman di laut, pantai, hutan, tanah tinggi serta kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna menjadikan taman negara tertua dan terkecil di Sarawak itu sentiasa menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Pengurus Komunikasi Bahagian Pemasaran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Barbara Benjamin Atan berkata tahun lalu taman negara yang dibuka pada tahun 1957 dan terletak kira-kira 37 kilometer dari bandar raya Kuching itu mencatatkan kehadiran 46,176 pelancong dalam dan luar negara.

Katanya daripada jumlah tersebut 36,356 merupakan pelancong perjalanan harian, manakala baki 9,820 merupakan pelancong yang bermalam untuk meneroka hidupan pada waktu malam bagi mendapatkan pengalaman yang berbeza.

"Kalau ikut pecahan daripada 46,176 pelancong itu, sejumlah 17,976 merupakan pelancong tempatan manakala baki 28,200 adalah pelancong dari luar negara.

"Pelancong tempatan dari Wilayah Persekutuan merupakan paling ramai melawat taman negara ini dengan jumlah 12,369 orang. Bagi pelancong luar negara pula, pelancong dari Eropah mencatatkan kehadiran paling ramai iaitu 20,510 orang," katanya ketika ditemui semasa mengikuti lawatan media ke taman negara itu baru-baru ini.

Pengalaman mengikuti lawatan ke taman negara itu amat mengujakan, tambahan pula dapat melihat sendiri kelibat monyet proboscis atau Orang Belanda antara spesies yang mendiami taman negara di sini.

Menurut Barbara, monyet proboscis yang terdapat di situ merupakan spesies monyet yang jarang ditemui dan hanya terdapat di Borneo sahaja.

"Taman negara ini adalah yang terdekat dengan bandar raya Kuching, ada akses jalan serta pengangkutan yang akan memudahkan pelancong untuk datang ke sini.

"Selain monyet proboscis yang menjadi tarikan, taman negara ini turut mempunyai laluan yang ingin diterokai kerana di sini terdapat 18 laluan yang berkod warna dengan setiap daripadanya memberikan cabaran yang berlainan," katanya.

Menurut rekod terdapat 600 spesies tanaman bunga termasuk 49 spesies orkid, 267 spesies haiwan termasuk 30 spesies mamalia, 34 spesies kelawar, 24 spesies reptilia dan 16 amfibia selain 196 spesies burung yang direkodkan di sini yang menjadi lokasi terbaik bagi pengkaji burung.

Barbara berkata menyedari Taman Negara Bako menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara, kemudahan penginapan, kafe dan jurupandu disediakan bagi membolehkan pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi sepenuhnya di sini.

"Taman Negara Bako sentiasa menjadi pilihan pelancong kerana lokasi yang dekat dengan Kuching. Pengunjung boleh mendapatkan khidmat bot yang terdapat di muara Sungai Bako untuk ke taman negara dengan bayaran RM47 bagi sehala yang boleh memuatkan lima penumpang.

"Dari segi kemudahan penginapan yang dikendalikan sepenuhnya Jabatan Hutan Sarawak, taman negara ini turut menyediakan kemudahan lain antaranya rumah rehat yang berharga RM78 hingga RM158 semalam, asrama RM42 semalam, khemah RM5 seorang selain disediakan surau, bilik pameran dan pusat penerangan," katanya.

-Bernama.

No comments:

Post a Comment