Perdana Menteri berkata, antara projek besar yang dibangunkan ialah Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah yang mendapat suntikan daripada kerajaan Pusat sebanyak RM200 juta, Lebuh Raya Pan Borneo Sabah sepanjang 706 kilometer serta pembangunan semula pantai Tanjung Aru.

“Ini semua kerana usaha sama antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN). Saya dimaklumkan dalam seminggu terdapat 46 pe­nerbangan dari China ke Sabah,” katanya ketika berucap melancarkan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Tadau Kaamatan di Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (MaTIC) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abd. Aziz; Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili; Menteri Sains dan Teknologi, Datuk Seri Madius Tangau dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Majlis rumah terbuka bagi pe­rayaan etnik Kadazan Dusun dan Murut yang julung kali diadakan di ibu negara bertujuan mempromosi negeri Sabah dan budaya masyarakat setempat, selain meningkatkan lagi persefahaman dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sambutan itu diadakan selama dua hari bermula hari ini dan dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk pameran, persembahan kesenian dan kebudayaan, jamuan rakyat serta persembahan daripada artis terkenal dari Sabah seperti Adira, Jimmy Palikat dan Clarice John Matta.

Sementara itu, Najib berkata, sambutan Rumah Terbuka Tadau Kaamatan itu merupakan sebahagian daripada falsafah 1Malaysia yang menjadi pegangan kerajaan.

Beliau berkata, jika rakyat berbilang kaum saling hormat-menghormati antara satu sama lain, negara akan terus mencapai kejayaan dan mengecapi kemakmuran.
-utusan online.