Tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan yang lebih, kita boleh makan sepuas-puasnya buah-buahan tempatan seperti durian, rambutan dan manggis tanpa ada hadnya di KEDA Bendang Man Resort.

Terletak di Sik, Kedah, percutian di resort itu tidak menghampakan kerana selain dapat menginap di tempat yang selesa, pengunjung juga akan disajikan dengan aneka buah-buahan tempatan.

Pengurus Besarnya, Azman Putra Ahmad berkata, sekiranya menginap di sini pada musim buah-buahan, kita boleh mengutip sendiri buah-buahan dan makan sepuas-puasnya.

“Kami tidak mengenakan caj tambahan, kerana ia termasuk dalam pakej penginapan. Tetapi jika kami mengadakan Pesta Buah-buahan, barulah kami kenakan caj.

“Pesta ini terbuka kepada orang ramai dan mereka boleh makan sepuas-puasnya semua buah yang ada di resort ini. Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan membawa balik,” kata Azman kepada S2.

Menurutnya, pesta tersebut akan diadakan pada Julai ini dan bayaran masuk hanya RM15 untuk dewasa, manakala kanak-kanak, RM7 sahaja. Selain menyediakan buah-buahan seperti durian, manggis, rambutan, langsat dan dokong. Pihak resort turut menyediakan pulut kukus, kuih-muih dan minuman.

Berbalik kepada pakej penginapan yang ditawarkan KEDA Bendang Man Resort, pelbagai pakej menarik ditawarkan. Katanya, kebanyakan penginap adalah staf agensi kerajaan, swasta dan pelajar.

“Mereka bukan sekadar menginap, malah turut mengadakan pelbagai aktiviti seperti program motivasi, seminar, kembara dan perkhemahan,” tambahnya.
Bagi aktiviti berkumpulan berkonsepkan ‘outdoor’, mereka boleh memilih penginapan khemah atau asrama dengan bayaran RM10.60 seorang. “Sekiranya bawa khemah sendiri, mereka hanya perlu bayar sewa tapak perkhemahan sahaja.

“Selain itu, kami turut menyediakan chalet,” katanya sambil memberitahu kemudahan chalet terdiri daripada pelbagai kategori. Mengenai kadar sewa chalet, katanya, harga adalah antara RM137 hingga RM212.

Selain chalet, terdapat juga dewan untuk disewa. Katanya, antara dewan di resort itu adalah dewan serbaguna, dewan tertutup, dewan makan dan dewan terbuka.

“Penyediaan makanan bergantung kepada permintaan. “Biasanya, kami menyediakan gulai dan lauk masakan kampung seperti gulai pisang, nasi dalam buluh, kerabu, ikan air tawar dan ulam-ulaman,” katanya.

Bagi pengunjung yang ingin merasai kedinginan air sungai yang jernih, boleh mandi-manda di sungai yang mengalir di tengah-tengah resort itu.

Info
- Terletak di Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik, Kedah.
- Kira-kira 10 kilometer dari pekan Sik.
- Meliputi kawasan ladang buah seluas 75.8 hektar.
- Menganjurkan Pesta Buah-buahan pada musim buah.
- Menawarkan 44 unit chalet.
- Disediakan kemudahan dewan.
- Tempahan makanan diterima untuk pengunjung berkumpulan.
- Harga penginapan bermula RM10.60 hingga RM212 seorang.
- Hubungi 04-4620369 / 04-4620307 untuk maklumat lanjut.
-utusan online.
http://www.keda.gov.my/projek-agro-pelancongan