Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, pendedahan mengenai keunikan peralatan kebudayaan turun temurun suku kaum itu juga berupaya menjadi daya tarikan pelancong untuk datang ke Sabah.

Kata beliau, penekanan dua elemen itu mampu mengangkat martabat budaya serta tradisi suku kaum berkenaan sekali gus dapat diketahui dan dipelajari oleh masyarakat tempatan dan pelancong luar.

“Kita mahu orang luar tahu keunikan budaya dan tradisi pelbagai kaum di negeri ini. Sebagai contoh, kita mempunyai banyak sukan tradisi dan rumah tradisional yang unik serta menarik untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan.

“Oleh itu, elemen-elemen ini perlu kita beri fokus dalam usaha menarik kedatangan pelancong sekali gus merancakkan sektor pelancongan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sukan tradisi, pameran hasil pertanian dan peralatan kebudayaan suku kaum Kadazan Dusun dan Murut sempena perayaan Pesta Kaamatan 2016 di Dewan Hongkod Koisaan (KDCA), di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ke­tua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk, Perayaan Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kiti­ngan; Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana dan Kordinasi Pesta Kaamatan 2016, Datuk Seri Dr. Clarence Bongkos Malakun.

Musa menambah, komitmen berterusan kerajaan negeri dalam mempromosikan keunikan wa­risan budaya serta tradisi ne­geri ini memerlukan sokongan daripada semua pihak terutama masyarakat tempatan.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab masyarakat tempatan untuk menyokong tradisi ini agar tidak luput ditelan zaman,” katanya.

Sementara itu, beliau mengajak seluruh rakyat negeri ini agar sentiasa memelihara perpaduan, keharmonian, keamanan dan budaya yang dimiliki selama ini kerana ke­semua aspek tersebut adalah harta paling berharga yang mampu diwarisi untuk generasi akan datang.

Ujarnya, keamanan dan perpaduan bukan sahaja dipupuk melalui pendidikan di sekolah dan rumah tetapi disemai serta diperkukuhkan melalui pengli­batan dalam program-program kebudayaan.
-utusan online.