Anugerah tersebut disampaikan Timbalan Menteri Pelanco­ngan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Mas Ermieyati ketika berucap dalam majlis tersebut berkata, usaha dan dedikasi Mohd. Yatim dalam membangunkan aktiviti dan produk homestay tanpa mengharapkan bantuan pihak kerajaan menjadi antara faktor beliau dipilih Menteri Pelanco­ngan dan Kebudayaan sebagai pemenang anugerah.

“Ternyata Datuk Seri Moha­med Nazri Abdul Aziz sangat kagum dengan beliau (Mohd. Yatim) semasa sesi lawatannya ke Homestay Sungai Haji Dorani pada 22 Februari lalu dan berha­rap usaha beliau menjadi contoh kepada pengusaha lain,” kata­nya.

Mas Ermieyati berkata, Sela­ngor mempunyai 15 kluster homestay yang mewakili 34 kampung dan melibatkan sejumlah 443 pengusaha menawarkan 709 bilik untuk kemudahan pelancong.

Homestay Sungai Haji Dorani di Sabak Bernam terdiri daripada 20 pengusaha dan antara yang mencatatkan pendapatan terting­gi bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini iaitu RM69,144 menerusi kedatangan 1,275 pela­ncong domestik dan antarabangsa.

“Pada tahun 2015, Home­stay Sungai Haji Dorani menjana jumlah pendapatan sebanyak RM380,242 dengan kedatangan seramai 9,991 orang pelancong domestik dan antarabangsa. Homestay ini juga memenangi Anugerah Pakej Inovatif Home­stay Negeri Selangor bagi Anugerah Homestay Terbaik 2014/2015,” katanya.

Homestay atau inap desa adalah program yang dibangunkan sejak tahun 1995 dan sehingga kini, terdapat 186 kluster home­stay berdaftar di seluruh negara.
Dalam majlis sama, Mas Ermie­yati turut menyampaikan koleksi busana kesenian kepada penggiat seni tempatan Selangor sumba­ngan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) juga diadakan iaitu 1Malaysia Green 1Malaysia Clean (1MG1MC) yang meli­batkan kerja-kerja pembersihan tanah sekitar kawasan homestay, penanaman pokok, serta program masterchef iaitu pertandingan gubahan barangan perkahwinan.
Sementara itu, Mohd Yatim bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kementerian atas anugerah yang diterima.

“Saya sangat gembira bercampur terharu dengan anugerah diterima. Saya tidak sangka titik peluh saya selama 12 tahun dalam mengusahakan homestay ini mendapat perhatian, penghargaan dan pengiktirafan daripada kementerian. Ini merupakan satu penghargaan yang tinggi.

“Anugerah ini menjadi motivasi kepada saya untuk mening­katkan lagi perkhidmatan dan mempelbagai aktiviti dan produk homestay di sini agar lebih maju dan berdaya saing,” tambahnya.
-utusan online.