Pengarahnya, Mohammad Khairi Ahmad berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai kerana berdasarkan rekod sejak bulan Januari hingga April tahun ini, seramai 5,000 orang telah mengunjungi taman berkenaan.

Katanya, lebih setahun lalu Taman Negara Kuala Koh telah ditenggelami banjir pada hujung Disember 2014 sehingga menyebabkan kerosakan pelbagai infrastruktur.

“Selepas dilanda banjir, Taman Negara Kuala Koh terpaksa ditutup selama setahun untuk proses membaik pulih infrastruktur sehingga mengalami kemerosotan bilangan pe­ngunjung.

“Kami menerima peruntukkan sebanyak RM2.04 juta bagi memulihkan se­gala kemudahan seperti chalet, jalan, jambatan dan bangunan yang terdapat di Taman Negara ini bagi keselesaan pengunjung,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohamad Khai­ri, Taman Negara Kuala koh telah kembali dibuka mulai Januari lalu dan bilangan pengunjung begitu menggalakkan sama ada dari dalam mahu pun luar negara.

“Tahun ini merupakan Tahun Melawat Kelantan dan Taman Negara Kuala Koh merupakan satu destinasi pelancongan utama yang dikenali umum.

“Pengunjung bukan sa­haja dapat meneroka ke­pelbagaian flora dan fauna tetapi pelbagai kegiatan lasak yang kita tawarkan di sini.

“Antara yang menarik tum­puan pengunjung ke Taman Negara Kuala Koh ialah di sini terdapat dua batang sungai iaitu Sungai Lebir dan Sungai Koh yang merupakan syurga ikan air tawar kepada para pemancing,” katanya.