Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Komersial MAHB, Mohammad Nazli Abdul Aziz berkata, langkah baharu itu adalah selari dengan hala tuju strategik baharu bahagian tersebut yang memberi tumpuan terhadap penumpang-penumpang sasar.

Katanya, kerjasama dengan Unionpay International iaitu sebuah rangkaian pembayaran dari China menerusi kempen Be Rewarded When You Spend juga dilihat selaras dengan pertumbuhan signifikan trafik kemasukan penumpang dari China ke Malaysia ketika ini.

"Pasaran penumpang dari China sememangnya menjadi keutamaan bagi kita terutama dengan jumlah kemasukan mereka serta kuasa perbelanjaan mereka yang besar. Tahun lalu sahaja, jumlah keseluruhan pergerakan penumpang antara Malaysia dan China adalah kira-kira 5.54 juta orang, iaitu yang kedua paling banyak untuk MAHB.

"Kebanyakan jumlah itu telah dirangsang oleh 12 syarikat penerbangan yang menghubungkan Malaysia dengan lebih 17 destinasi di China. Kita jangkakan pasaran pelancong China akan meningkat lebih jauh dengan program pengecualian visa kini," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran kempen Be Rewarded When You Spend di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Unionpay International, Wenhui Yang.
Dalam pada itu, Mohammad Nazli berkata, berdasarkan statistik Tourism Malaysia, seorang pelancong China secara purata akan berbelanja kira-kira RM3,300.

Katanya, jika Tourism Malaysia mencapai sasaran lebih dua juta pelancong China datang ke Malaysia pada tahun ini, lebih RM6.7 bilion bakal diperoleh hasil daripada perbelanjaan pelancong-pelancong tersebut.

"Meraih sebahagian daripada perbelanjaan pelancong China tersebut akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kita.

"Unionpay International adalah sebuah jenama pembayaran global yang berkembang pesat. Menjalin kerjasama dengannya akan membolehkan kita menarik pelancong China," katanya.

Sementara itu, Wenhui berkata, Malaysia menyediakan peluang pasaran yang besar bagi pihaknya terutama dari segi kemasukan pelancong ke negara ini.
Kata beliau, bagi kempen tersebut, empat lapangan terbang telah dipilih iaitu KLIA, klia2, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

"Melalui kempen ini, pemegang kad Unionpay International akan mendapat ganjaran ketika berbelanja di keempat-empat lapangan terbang tersebut bermula esok hingga 30 Jun ini," katanya.