Monday, April 25, 2016

Pelancaran Promosi Tahun Melawat Pahang 2017


21 April, 2016 – Kerajaan negeri Pahang hari ini melancarkan kempen promosi Tahun Melawat Pahang 2017 pada peringkat negeri. Kempen ini akan merangkumi pelbagai program dan aktiviti yang akan mengukuhkan jenama pelbagai destinasi percutian yang didapati di Pahang menerusi promosi di media sosial serta media massa, pameran perdagangan, aktiviti dan penganjuran promosi bersama. 

Acara hari ini telah memperkenalkan logo, tema, maskot dan slogan HOGOH PAHANG yang amat terkenal di kalangan anak Pahang. Pelancaran kempen secara rasminya dijangka berlaku pada awal tahun hadapan oleh KDYMM Sultan Pahang.  

Slogan Hogoh Pahang dipilih untuk mempromosikan kebudayaan dan tradisi tempatan kerana ia bertepatan dengan semangat anak-anak Pahang yang tidak gentar dan sentiasa bersemangat. Pemilihan slogan Hogoh Pahang yang bermaksud “kasi gegar” sesuai untuk kempen ini kerana selain daripada memaparkan keunikan Pahang, ia juga menunjukkan semangat kempen pelancongan ini yang mensasarkan untuk menawan hati para pelancong 
pada tahun 2017 dengan pelbagai program menarik.  

“Pilihan Hogoh Pahang sebagai slogan dan tema kempen adalah kerana ia merupakan dialek yang menjadi kebanggaan anak-anak Pahang. Kami sedar bahawa ramai orang di luar Pahang yang tidak mengenali maksud Hogoh Pahang, termasuklah pelancong. Jadi slogan ini diharap untuk menarik minat mereka di luar sana untuk lebih berkenalan dengan negeri Pahang. Pelbagai aktiviti yang bakal berlangsung telah dirancang bertemakan Hogoh Pahang.” 

“Kami juga mahukan Hogoh Pahang menyatukan anak-anak Pahang dan bekerjasama dengan kami bagi menjayakan kempen ini. Harapan kami, tahun 2017 bukan saja Tahun Melawat Pahang malahan anak tempatan kami turut mendapat faedah daripada kempen ini. Kami merancang untuk mengajak peniaga tempatan menyertai kempen ini agar mereka meraih sumber pendapatan tambahan menerusi penjualan cenderahati kempen,” kata YAB Dato' Sri DiRaja Haji Adnan bin Haji Yaakob, Menteri Besar Pahang.  


Tambah beliau, “Pada tahun 2015, kami menerima seramai 10.5 juta kunjungan pelancong ke negeri Pahang yang menjana pendapatan sebanyak RM7 bilion. Pada tahun 2017, kami ingin menambah lagi 2.5juta pelancong kepada angka sedia ada agar pendapatan juga bertambah. Bila saya melihat perancangan aktiviti dan program yang disediakan sepanjang 18 hingga 20 
bulan akan datang, saya yakin sasaran ini dapat dicapai dengan mudah.” 

“Kali terakhir Negeri Pahang mengadakan kempen Tahun Melawat Pahang adalah pada tahun 1994. Oleh itu, sudah tiba masanya untuk mempromosikan negeri ini dengan lebih agresif. Negeri Pahang memerlukan lonjakan kadar kedatangan yang lebih besar agar perbelanjaan pelancong dapat ditingkatkan,” YB Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Bin Haji Shamsudin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri.  

Tambah beliau, “Kita perlu sedar  masih banyak destinasi yang perlu ditonjolkan di peringkat domestik dan antarabangsa. Kejayaan kempen pelancongan ini, bergantung kepada sepenuh sokongan, kerjasama dan bantuan dari semua pihak. Mengikut pelan promosi Tahun Melawat Pahang 2017, kami akan menganjurkan pelbagai aktiviti bertempat di semua daerah kami. Kami juga akan melancarkan laman web kempen yang merangkumi video dan travelog, aktiviti media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, pameran perdagangan antarabangsa, aktiviti media, kempen CSR dan banyak lagi. ”  

Beliau juga menambah yang program lain akan diumumkan kepada orang awam dalam masa yang akan datang. Untuk maklumat lanjut mengenai Visit Pahang 2017, sila layari:
Laman Web: www.visitpahang.com 

Facebook: facebook.com/hogohpahangofficial 
Instagram: hogohpahangofficial 
Twitter: hogohpahangmy
-Pahang State Government.

No comments:

Post a Comment