Bagi memastikan usaha itu ter­lak­sana, kerajaan negeri akan mem­perkenalkan aplikasi pintar ‘Destinasi Melaka’ yang dapat mengetengahkan produk pelancongan negeri tersebut kepada penduduk di Jerman termasuk di seluruh benua itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, menerusi aplikasi tersebut, pelancong dari Eropah boleh memperoleh maklumat mengenai Melaka hanya dengan melayari aplikasi itu yang menyediakan pelbagai lokasi pelancongan dan tumpuan utama pelancong.

“Kerajaan negeri telah menghasilkan satu aplikasi mudah alih untuk mempromosikan pelancongan Melaka yang direka khas oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) Melaka.

“Menerusi aplikasi ini, pengguna telefon pintar di seluruh dunia boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai pelancongan Melaka dan mencari tempat penginapan, lokasi tumpuan pelancong, acara serta festival yang akan berlangsung serta pelbagai promosi pelancongan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya dalam Majlis Pelancaran Aplikasi Pintar ‘Destinasi Melaka’ dan Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2016 sempena Pameran Perdagangan Pelancongan Dunia International Tourismus Borse (ITB) 2016 di Messe Berlin, Jerman hari ini.

Pelancaran program anjuran kerajaan negeri Melaka itu disempurnakan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Yang turut hadir, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Fadilah Abdullah; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ab. Wahab Ab. Latif; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad; Pengurus TM Melaka, Datuk Roslan Mohamed serta wakil Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI).

Menurut Idris, negeri Melaka sedang bergerak ke hadapan untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat dan untuk itu pihaknya berhasrat memenuhi keperluan orang ramai dengan menggunakan teknologi baharu seperti aplikasi tersebut.

Beliau berkata, aplikasi berkenaan turut dilengkapkan dengan waze dan Google maps khusus bagi pengguna telefon pintar mengakses tarikan pelancong, restoran, persembahan dan pusat membeli-belah pada telefon pintar mereka.
“Saya juga ingin maklumkan bahawa Festival Antarabangsa Sungai Melaka 2016 pada 21 Mei hingga 4 Jun ini melibatkan 10 acara antarabangsa dan 20 acara domestik.

“Pelbagai aktiviti termasuk perarakan 50 buah bot berhias mengambil bahagian dalam festival ini melibatkan 4,000 peserta pelbagai bangsa,” katanya.

Ujar Idris, Melaka sangat terkenal pada masa lalu sebagai pusat dagangan dunia, dan kini berbangga dengan Sungai Melaka dikenali sebagai Venice of The East yang mesti dilawati.
-utusan online.