Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kini dalam pe­ringkat akhir memilih kontraktor baharu bagi melaksanakan kerja-kerja menyiapkan projek tersebut yang sepatutnya siap pada 2014.

Menurutnya, kerajaan negeri bagaimanapun belum pasti tarikh sebenar kerja-kerja pengindahan tersebut akan dilaksanakan namun akan memastikan ia dapat dimulakan dalam tempoh terdekat.

“Kita amat berharap projek ber­kenaan dapat dilaksana serta dise­lesaikan sepenuhnya tahun ini dan kerajaan negeri amat menghargai komitmen daripada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek Sungai Melaka fasa dua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meras­mikan pejabat baharu Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka di Kota Cemerlang, Ayer Keroh, di sini kelmarin.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Su­ngai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Gha­zale Mohamad serta Pengurus Besar BPP, Norena Jaafar.

Menurut Idris, projek yang terbengkalai akibat kegagalan pihak kontraktor sebelum ini kini diseliakan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) terutamanya bagi kerja-kerja pembersihan dan pengindahan.
Sementara itu, beliau berkata, projek Sungai Melaka fasa dua bakal menjadi produk pelancongan baharu negeri dan dijangka mampu meningkatkan pelancong ke Sungai Melaka kepada 1.5 juta apabila siap kelak.

“Kerajaan negeri turut mempunyai perancangan lain bagi projek fasa ke­dua ini termasuklah komponen pembangunan Pusat Komersial Hang Tuah Melaka (HTMCC) di bahagian limbu­ngan barat sungai tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, penjenamaan semula BPP Melaka yang kini dikenali sebagai Tourism Me­laka adalah selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mempergiatkan sektor tersebut yang menjadi nadi utama ekonomi negeri.
“Tourism Melaka juga diyakini akan dapat mentadbir sektor pelancongan negeri dengan mengambil kira kesan jangka pendek dan panjang seterusnya memastikan ne­geri ini terus dikenali sebagai lokasi pelancongan terkenal tanah air,” katanya.
-utusan online.