Inisiatif yang disifatkan mampu mengubah landskap destinasi tumpuan tersebut juga diambil bagi merancakkan lagi kedatangan pengunjung ke Puteri Harbour dan menghabiskan masa berkualiti bersama keluarga menerusi beberapa projek baharu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tunku Ahmad Burhanuddin berkata, antara projek terbaharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi ialah kerjasama Hotel Jen dan Sanrio Hello Kitty Town bagi memperkenalkan bilik hotel bertemakan Hello Kitty.

Buat masa ini katanya, hanya lapan bilik hotel terpilih bakal menjalani transformasi kepada konsep Hello Kitty sebelum diperluaskan kepada jumlah lebih banyak berdasarkan permintaan pasaran yang diyakini menerima respons positif.

“Menerusi inisiatif time.together ini, kami menyasarkan untuk menjadikan Puteri Harbour sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai aktiviti di bawah satu bumbung yang sesuai dinikmati seisi keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran inisiatif Puteri Harbour, time.together yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab di Hotel Jen di sini semalam.

Ahmad berkata, inisiatif terbaharu itu juga akan mengetengahkan keunikan dan tarikan utama di Puteri Harbour sebagai destinasi hiburan, tempat makan, penginapan dan yang mampu memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung.

Dalam pada itu, beliau percaya, perkhidmatan feri ke Terminal Pu­teri Habour yang mula beroperasi dari Tanjung Balai dan Batam, Indonesia dijangka meningkatkan lagi kunjungan pengunjung ke destinasi pelancongan tersebut.

“Kami yakin Puteri Habour mampu mengubah gaya hidup masyarakat dengan membawakan lebih banyak tarikan menerusi inisiatif baharu ini sekali gus membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk masyarakat setempat.

“Sehubungan itu, kami akan terus menjalin kerjasama dengan pihak yang terlibat dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke Puteri Harbour pada masa akan datang,” katanya.
-utusan online.