Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Megat Ardian Wira Mohd. Aminudin, pelancong tersebut antaranya dari Indonesia, India, Jepun, China, United Kingdom, Amerika Syarikat, Bangladesh dan Australia.

Beliau berkata, Malaysia juga menjadi destinasi pelancongan kesihatan yang ideal bagi masyarakat Islam kerana hospital di Malaysia amat mementingkan konsep pelayanan halal seperti makanan, tempat ibadat dan ubat-ubatan halal.
Katanya, dengan segala kemudahan yang disediakan itu, Malaysia dipilih sebagai destinasi percutian halal mesra utama 2014 oleh Crescentrating, sebuah konsultan pelancongan Muslim yang berpangkalan di Singapura.

“Salah satu perkara penting yang menjadi ukuran pelancong kesihatan ialah kualiti layanan yang diberikan dan dalam hal ini Malaysia memiliki kemudahan dan layanan bertaraf dunia,’’ katanya dalam satu kenyataan sempena ekspo kesihatan My Health Expo 2016,” di sini hari ini.

Ekspo tersebut anjuran bersama MHTC, Tourisme Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia. Lion Club Jakarta Magnolia, Lavender Ribbon Cancer Support dan Love Pink. Program itu bertujuan mengajak masyarakat Indonesia supaya lebih menitikberatkan kesihatan dengan mengenali dan mencegah penyakit utama yang boleh menyebabkan kematian.

Ia dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim. Turut hadir, timbalannya, Rosli Abdul dan para pegawai kanan kedutaan Malaysia.

Beberapa buah hospital dan pusat rawatan Malaysia menyertai ekspo ini termasuk Institut Jantung Negara (IJN), Pusat Perubatan Mahkota, Hospital Pakar Regency, Hospital Glenegles Pulau Pinang dan Hospital Mata Kebangsaan Tun Hussein Onn.

Sementara itu, Zahrain ketika berucap merasmikan ekspo tersebut berkata, majlis tersebut dapat membantu masyarakat Indonesia lebih menjaga kesihatan dan waspada terhadap sesuatu penyakit akibat tidak men­yedari mengenai penyakit tersebut.

Katanya, masyarakat perlu mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai pentingnya kesihatan dengan memberi perhatian khusus terhadap pencegahan kanser, diabetes dan penyakit jantung.