Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran lapan juta pelancong dari China itu adalah salah satu contoh usaha kerajaan menarik lebih ramai pengunjung walaupun ketika ini jumlah pelancong dari negara itu adalah sebanyak 1.3 juta orang.

Menurut beliau, walaupun sasaran itu dilihat agak besar, kerajaan yakin dapat mencapai­nya kerana perbelanjaan purata setiap pelancong dari China ke negara ini adalah RM3,345 meliputi penginapan, makanan dan membeli-belah.
‘‘Kita harapkan dengan adanya peningkatan jumlah pelancong dari China, akan memberi pendapatan ekonomi sebanyak RM22.1 bilion setiap tahun kepada sektor pelancongan negara.

‘‘Usaha menarik pelancong datang ke Malaysia harus dilakukan dengan langkah paling drastik kerana kehadiran pelancong yang membelanjakan dengan jumlah tertentu akan memberi kesan paling segera kepada pembangunan ekonomi di negara kita,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pusat beli-belah Freeport A’Famosa Outlet (FAO) yang mula beroperasi sejak 28 November lalu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Timbalan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab; Pengarah Urusan Kumpulan A'Famosa, Datuk Alex Lau serta Pengarah Komersial Peruncitan Freeport United Kingdom (UK), Chris Milliken.

FAO merupakan sebuah pusat beli-belah terbaharu di negeri ini hasil usaha sama Freeport Retail Limited yang berpangkalan di London, UK dan Langkah Realiti Sdn. Bhd. iaitu pemilik A'Famosa Resort, menawarkan lebih 80 gedung outlet fesyen, sukan, aksesori, beg dan kasut berjenama dengan kemudahan 1,600 tempat letak kereta percuma.

Sejak beroperasi November lalu, pusat beli-belah itu telah menerima kehadiran lebih 600,000 pengunjung.

Menurut Ahmad Zahid, walaupun negara pada tahun lalu mencapai jumlah kehadiran pelancong yang agak tinggi namun untuk tempoh lima tahun akan datang, kerajaan berhasrat memberikan tumpuan kepada beberapa negara tertentu termasuk dari China supaya lebih ramai pelancong dari negara berkenaan datang ke Malaysia.

Katanya, kesan perkembangan pelancongan termasuk kehadiran pelancong dan langkah membeli-belah yang diambil mereka di negara ini, sedikit-sebanyak dapat membantu perkembangan ekonomi yang baik untuk negara.

‘‘Saya akan memohon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan peruntukan tambahan untuk pengiklanan dan promosi kepada Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan serta Tourism Malaysia untuk menambah aktiviti mereka menarik pelancong datang ke negara ini.

‘‘Pada masa yang sama kerajaan juga mahu lihat keberhasilan peruntukan tambahan itu dapat membantu menarik jumlah pelancong. Sebagai contoh, gunakanlah kelebihan yang ada pada penyanyi kita seperti Shila Amzah yang menjadi ikon di negara China untuk membantu menarik pelancong dari negara tersebut datang ke Malaysia,’’ jelasnya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata, pengusaha pelancongan swasta juga diminta supaya membantu meningkatkan industri pelancongan negara dengan membawa lebih banyak pelancong dari luar berkunjung ke negara ini.