Saturday 2 January 2016

Kedah Yakin Kejatuhan Nilai Ringgit Tidak Jejas Kedatangan Pelancong

ALOR SETAR, 1 Jan (Bernama) -- Kedah yakin sasaran untuk menarik sebanyak lima juta pelancong ke negeri berkenaan pada tahun ini, tidak akan terjejas walaupun negara kini mengalami kejatuhan nilai ringgit.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata keadaan itu sebenarnya memberi banyak kebaikan terhadap industri pelancongan negara apabila rakyat memilih destinasi tempatan untuk melancong.

"Ada baiknya...pelancong tempatan umpamanya akan memilih lokasi dalam negara untuk dilawati pada masa ini termasuk juga pelancong luar negara.

"Bagi pelancong luar negara yang ekonomi mereka masih baik, mungkin memilih Malaysia termasuk Kedah untuk dilawati," katanya selepas majlis pelancaran 'Discover Kedah 2016' di Dataran Menara Alor Setar di sini, malam ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammd Taiyab Beg dan exco-exco kerajaan negeri.

Mukhriz berkata pemain industri pelancongan Kedah perlu giat mempromosikan negeri berkenaan kepada pelancong dalam dan luar negara bagi menarik kedatangan mereka.

Beliau berkata pada masa ini, pihaknya akan menggiatkan usaha menarik pelancong untuk melawat tanah besar Kedah berbanding Langkawi yang sudahpun terkenal.

"Langkawi sudah terkenal serta popular dan pulau itu kini mengalami masalah penginapan yang tidak mencukupi, tetapi masalah itu sangat baik sebenarnya," kata beliau.

Beliau berkata antara lokasi menarik di tanah besar Kedah adalah Sungai Sedim Canopy Walk, Air Panas Ulu Legong, Taman Rimba Ulu Muda dan Pantai Merdeka.

Selain itu, Mukhriz berkata keenakan makanan negeri itu juga boleh dijadikan tarikan kepada pelancong.

Dalam pada itu, beliau berkata agensi pelancongan juga disaran mempromosikan kepada pelancong yang datang ke Langkawi agar turut memilih tanah besar Kedah untuk dikunjungi.

Bagi merealisasikan hasrat itu, beliau meminta peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan barangan sewenang-wenangnya kerana ia ia tidak baik terhadap industri pelancongan tempatan.

-bernama.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.