Ketua Pegawai Eksekutif Marina Putrajaya Sdn. Bhd. (MPSB), Datuk Zaharah Salamat berkata, sebanyak lima pakej ditawarkan kepada pengunjung dengan harga bermula daripada RM34 hingga RM402 untuk seorang bagi pemegang MyKad manakala, bukan pemegang MyKad harganya bermula daripada RM56 hingga RM425 seorang.

Beliau berkata, antara tarikan utama di taman tersebut ialah menaiki belon helium terbesar di Malaysia iaitu SkyRides Balloon pada ketinggian 120 meter dengan menjanjikan pemandangan Putrajaya dari sudut 360 darjah

“Pengunjung boleh memilih lima pakej iaitu Individu, Perahu, Love Is In The Air, Picnic Boat dan Makan Malam SkyCruise yang menawarkan pengalaman sangat mengujakan dan menyeronokkan kepada pengunjung.

“Bagi setiap pakej tersebut pengunjung akan dibawa merasai keseronokan menaiki SkyRides Balloon iaitu gondola belon jenis berikat di atas air yang pertama dan terbesar dengan ketinggian 120 meter di udara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pelancaran pakej baharu untuk Skyride Festival Park di Monumen Alaf Baru Putrajaya, Presint 2 di sini, hari ini.
Menurut Zaharah, taman tersebut dibuka pada setiap hari bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam namun, pada hari Jumaat dan Sabtu dilewatkan sehingga pukul 12 tengah malam.

Selain itu, Zaharah berkata, pengunjung yang mahu menikmati keindahan Putrajaya menerusi pengangkutan air turut ditawarkan menaiki perahu tradisional, Perahu Dondang Sayang dan Lepa-lepa; bot berkelah dan cruise (kapal persiaran) menerusi pakej yang disediakan.

Mengulas lanjut, katanya, lain-lain aktiviti dan kemudahan yang juga disediakan di Sky Ride Festivals Park adalah Sky Kids, Sky Gallery, Sky Demo, Sky Stage dan Sky Cafe & Sky Taste.

“Untuk masa hadapan, kita juga akan melancarkan aktiviti baharu iaitu SkyKids Warrior Challenge penghujung bulan ini khusus untuk kanak-kanak beriadah.
“Dalam masa sama, kita juga menyediakan tempat dan kemudahan kepada orang ramai yang berhasrat menganjurkan hari keluarga atau aktiviti secara beramai-ramai di sini dengan harga diskaun serta pakej menarik,” katanya.

Zaharah berkata, orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut pakej yang disediakan boleh menghubungi talian 03-88885539 atau melayari laman sosial, Facebook, Instagram dan Twitter CruiseTasikPtjy.
-Utusan Online.