Tuesday 1 December 2015

MITA TOURISM FAIR 2016 #GoDomestic Galak Percutian Dalam Negara

image: MITA Tourism Fair facebook

KUALA LUMPUR, 25 November 2015 -  MITA Tourism Fair 2016 adalah acara julung-julung kalinya diadakan bermula dari 29 - 31 Januari 2016 yang akan menyaksikan penyertaan besar-besaran daripada lebih 140 penggiat industri yang akan mempamerkan keunikan Malaysia kepada 20,000 pengunjung yang dijangka melawat Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Meliputi ruang Dewan 6 sebesar 2,700 kaki persegi, KLCC akan membuka pintu utamanya kepada orang awam secara percuma seawal 9 pagi sehingga 9 malam setiap hari.

Dengan pelancaran kempen #GoDomestic oleh MITA, pengunjung dari luar dan dalam negara bukan sahaja dapat menikmati percutian hebat di destinasi-destinasi tempatan kegemaran mereka malah dapat mengenali negara ini dengan lebih dekat lagi melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan di sepanjang tahun 2016.

Pameran MITA 2016 kali ini akan menjadi sebuah platform bagi 400 ahli-ahli MITA untuk menjual tiket penerbangan dan pakej percutian tempatan pada harga yang amat berpatutan di musim lengang (off-peak). 

Selain itu, mereka akan berpeluang memperkenalkan produk-produk yang baru serta perkhidmatan yang ingin mereka ketengahkan. Pada masa yang sama, ejen-ejen pelancongan yang turut terlibat akan dijanjikan insentif pada kadar yang bersesuaian. 

Sebelum ini, sudah ada beberapa kempen pelancongan domestik seperti Kenali Malaysia, Cuti-cuti Malaysia, Zoom Malaysia dan yang terkini “CC1M Dekat Je!”. Semua kempen-kempen ini diperkenalkan dengan satu objektif iaitu memastikan industri pelancongan tempatan negara terus berkembang pesat bukan sahaja dengan kemasukkan pengunjung dari luar tetapi juga menggalakkan penduduk tempatan untuk bercuti di negara sendiri.

"Dengan sokongan berterusan dari rakan seindustri, pihak media serta orang ramai, pada tahun 2014, Malaysia telah mencatatkan jumlah pelancong domestik sebanyak 60.7 juta iaitu  peningkatan sebanyak 11.6% berbanding 54.4 juta pada tahun 2013.Pada tahun ini kita mensasarkan peningkatan sebanyak 5% iaitu 63.7 juta orang,” jelas Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Mirza Mohammad Taiyab.

Ini jelas membuktikan bahawa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia sentiasa mempelopori serta memperjuangkan pertumbuhan sektor pelancongan dengan kejayaannya sebagai penjana pertukaran matawang asing kedua terbesar dan komponen ekonomi keenam terbesar di Malaysia bagi tahun 2013. 

Demi menyahut seruan serta memastikan matlamat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia tercapai, MITA terus menggembleng tenaga dalam mewujudkan kesedaran dan menggalakkan kerjasama antara penggiat industri supaya aktiviti pelancongan dalam negara sentiasa terpelihara dan terangsang.

“Pihak kami akan sentiasa bersama-sama membantu Kerajaan melakarkan pelan pembangunan pelancongan negara dengan mewujudkan kerjasama serta mengekalkan hubungan dengan pelbagai negara dan badan-badan pelancongan antarabangsa," kata Timbalan Pengerusi MITA, Uzaidi Udanis.

"Destinasi tempatan adalah satu produk negara yang mempunyai kisahnya yang unik dan tersendiri. Ia perlu dikongsikan bersama dengan semua justeru membawanya ke satu tahap yang boleh dibanggakan," tambah Uzaidi. 

Pameran MITA yang juga merupakan sebuah perhimpunan tahunan yang dihoskan oleh para penggiat industri, wakil dari badan-badan pelancongan asing dan ejen-ejen pelancongan, akan menjanjikan kemeriahan tiga hari yang dipenuhi dengan aktiviti hiburan, sesi cabutan bertuah serta peluang untuk memenangi bermacam-macam hadiah yang menarik.

(Nota: MITA atau Malaysia Inbound Tourism Association ditubuhkan pada tahun 2005 sebagai sebuah badan bukan berasaskan keuntungan. Dengan sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, MITA berusaha untuk bersama-sama menjayakan kempen berasaskan pelancangon domestik yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bagi tahun 2016. Untuk maklumat lanjut tentang MITA Tourism Fair, e-mel mitatourismfair@gmail.com atau telefon 015-4872 1320 serta layari laman web rasmi MITA iaitu www.mitalamalaysia.com. Untuk mendapatkan berita serta gambar terkini yang akan dimuat-naik setiap hari bermula hari ini, #GoDomestic.)
-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.