Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, standard yang diberi nama ‘MS2610:2015 - Muslim Friendly Hospitality Servi­ces - Requirements’ itu berperanan memelihara dan melindungi sistem serta integriti produk perkhidmatan dan pelancongan Islam negara.

“Bagi pengusaha hotel, pengendali pelancongan dan pemandu pelancong, dokumen ini akan memberikan bimbingan dan penjelasan untuk perkhidmatan terbaik kepada pelanggan yang beragama Islam.

“Dalam usaha Malaysia untuk terus menerajui dan berkembang maju dalam sektor pelancongan Islam secara global, kita perlu membina asas yang kukuh iaitu dengan wujudnya standard ini,” katanya dalam sidang akhbar Islamic Tourism Masterclass: Muslim Friendly Hospitality Services Standard, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin dan Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam, Zulkifly Md. Said.
Tambah Ermieyati, melihat kepada pasaran pelancongan Islam seluruh dunia yang semakin pesat membangun, penggiat industri dalam negara harus merebut peluang perniagaan yang berpotensi tinggi dalam sektor tersebut.

“Terdapat satu kajian yang men­catatkan bahawa nilai pasaran glo­bal bagi pelancongan Islam tahun 2014 berada pada AS$142 bilion (RM600 bilion) dan nilai itu tidak termasuk haji dan umrah.

“Kelebihan Malaysia yang sentiasa mendapat pengiktirafan sebagai peneraju pelancongan Islam harus digunakan penggiat industri negara sebagai batu loncatan untuk merebut peluang di peringkat global,” katanya.

Dalam pada itu, Fadilah berkata, bagi hotel yang ingin mendapatkan persijilan standard tersebut, permohonan boleh dibuat di Islamic Tourism Centre.
-Utusan Online.