Penyelaras Homestay Banghuris, Basir Wangiman berkata, sehingga kini homestay yang terletak kira-kira 60 kilometer (km) dari Kuala Lumpur dan 35 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerima kedatangan hampir 12,000 pelancong tempatan dan luar negara dalam masa setahun.

“Paling ramai dari Jepun iaitu 6,000 orang, mereka datang untuk mempelajari cara hidup orang kampung,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Katanya, kelestarian Homestay Banghuris hasil daripada peruntukan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah seperti pembinaan dewan serbaguna yang membawa manfaat kepada ribuan penduduk.

“Antara kejayaan yang telah dikecapi oleh Homestay Banghuris ialah memenangi Anugerah Ilham Desa pada 2002, johan keseluruhan Anugerah Ilham Desa pada 2005 serta dianugerahkan Desa Lestari pada 2014 sekali gus memperoleh geran sebanyak RM1.2 juta untuk tujuan pembangunan,” katanya.
Mengulas mengenai keunikan di Homestay Banghuris, Basir berkata, cara hidup, budaya dan tradisi yang diamalkan penduduk berjaya menambat hati pengunjung.

“Banyak aktiviti diadakan seperti kebudayaan, mengenali makanan tempatan, perusahaan desa, kebun buah-buahan, aktiviti sukan dan reakreasi, melawat kebun buluh, melawat ladang getah serta melawat ladang kopi.

“Para tetamu berpeluang untuk melihat serta mempelajari tarian dan muzik tradisional seperti lagu-lagu rakyat, persembahan cempuling, tarian masyarakat Melayu, Arab, Cina mahupun India. Selain itu, para tetamu berpeluang menghadiri majlis perkahwinan jika ada penduduk kampung melangsungkan perkahwinan,” katanya.

Basir menjelaskan, kejayaan Homestay Banghuris banyak dipengaruhi usaha yang dilakukan Institut Kemajuan Desa (Infra) dalam memajukan sesebuah kawasan luar bandar.

Katanya, perkara itu jelas terbukti apabila latihan dan kursus yang diberikan oleh Infra telah membantu memajukan Homestay Banghuris, Sepang hasil penggabungan tiga buah kampung iaitu Bukit Bangkong, Hulu Chuchuh dan Hulu Teris sejak 10 tahun lalu.

Jelasnya, penubuhan Homestay Banghuris adalah hasil usaha penduduk kampung setelah mendapat khidmat nasihat, latihan dan kursus daripada Infra dan melalui itu juga kegemilangannya dapat dikekalkan.

Basir yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Hulu Cuchuh berkata, dia telah menghantar lebih 100 orang penduduk kampung untuk mengikuti segala latihan dan kursus yang dianjurkan oleh Infra untuk kelestarian Homestay Banghuris.

Katanya, tanpa khidmat nasihat, latihan dan kursus yang dijalankan oleh Infra, kemungkinan besar Homestay Banghuris tidak akan mencapai kejayaan seperti sekarang iaitu menerima kedatangan hampir 12,000 pelancong tempatan dan luar negara dalam masa setahun.

“Infra menjalankan pelbagai latihan dan kursus kepada masyarakat kampung seperti program kelestarian kampung, program penjanaan ekonomi kampung dan juga aspek kebersihan. Segala latihan yang diterima kami laksanakan di Homestay Banghuris.

Sementara itu katanya, kawasan Homestay Banghuris sememangnya terkenal dengan perusahaan desa membuat kuih tradisional dan makanan ringan seperti kerepek kentang, ubi kayu, pisang serta makanan sejuk beku yang dijadikan jualan komersial untuk menjana ekonomi penduduk.

“Terdapat dua pakej yang disediakan di Homestay Banghuris iaitu pakej dua hari satu malam dengan harga daripada RM150 seorang dan juga pakej tiga hari dua malam dengan harga daripada RM250 seorang, kedua-dua pakej tersebut termasuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

“Kami merancang untuk memperluas dan memperindahkan lagi suasana di Homestay Banghuris, dengan geran yang diperoleh sebanyak RM1.2 juta banyak pembangunan dapat dilaksanakan termasuk menambah lagi jumlah inap desa yang ketika ini berjumlah 100 buah,” katanya.