Pengarah Komersial Jualan FAO, Chris Miliken berkata, pusat jualan jenama terkenal itu yakin mampu membantu meningkatkan lagi kehadiran pelancong dari seluruh negara ke Melaka untuk merasai pengalaman membeli-belah yang berbeza.

Menurut beliau, sejak FAO dibuka 5 Disember lalu, pihaknya menganggarkan hampir 200,000 pengunjung telah datang dan membeli-belah di gedung tersebut walaupun outlet itu belum beroperasi sepenuhnya.

"Melihat kepada jumlah kehadiran yang amat memberangsangkan terutamanya pada hujung minggu, kami yakin akan mencapai sasaran 9 juta pengunjung dari seluruh negara terutamanya Lembah Klang, Johor, Negeri Sembilan serta beberapa buah negeri lain tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan media ke FAO & A'Famosa Resort di sini, semalam.

FAO merupakan pusat beli-belah berjenama yang diusahakan bersama oleh syarikat United Kingdom (UK), Freeport Retail Ltd. dengan anak syarikat A'Famosa Resort, Langkah Realiti Sdn. Bhd.

Jelas Miliken, keyakinan mencapai sasaran tersebut juga berdasarkan kemampuan Melaka menarik lebih 15 juta pelancong setiap tahun dan sebahagian besar daripadanya mahukan tempat tarikan baharu untuk dikunjungi.

“Pada masa ini, FAO menawarkan lebih 60 kedai fesyen, sukan serta aksesori berjenama antarabangsa dan dijangka 40 buah kedai lagi bakal dibuka dalam fasa dua pembangunan bermula 2016,” ujarnya.

Tambah beliau, tarikan baharu yang menarik serta berbeza dengan pusat beli-belah berkonsepkan outlet di negara ini menjadikan FAO sebagai antara tempat yang mahu dikunjungi setiap orang.

“FAO bakal menjanjikan pengalaman berbeza dan menyeronokkan dengan adanya tasik, air pancut, karusel serta kincir angin bertemakan warisan Belanda di Melaka,” katanya.
-utusan online.