Monday, June 29, 2015

Pelancong jana RM21.6 bilion perbelanjaan beli-belah

photo: PelanconganKini
PUTRAJAYA 27 Jun - Sektor beli -belah terus menjadi penyumbang kedua terbesar perbelanjaan pelancong tahun lepas kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. 

Menurut beliau, perbelanjaan beli belah daripada pelancong ini mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus kepada RM21.6 bilion iaitu sumbangan sebanyak 30 peratus daripada perbelanjaan keseluruhan pelancong. 

"Jadi untuk meningkatkan lagi sektor beli-belah, kita telah mengenal pasti setiap bandar utama setiap negeri untuk dijadikan Zon Beli-Belah Tambahan. 

"Selain itu, kita juga akan mengeluarkan peta-peta lokasi beli-belah Malaysia yang berkonsepkan keriangan bagi membolehkan pelancong tempatan dan luar negara merasai sendiri pengalaman beli-belah di negara ini," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Karnival Juala Mega 1Malaysia, Jualan Bersepadu 1Malaysia dan pertandingan dalam talian #BeautifulMalaysia di sini hari ini. 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Ong Hong Peng yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab. 

Karnival Jualan Mega 1Malaysia dan Jualan Bersepadu 1Malaysia ini akan diadakan selama lebih dua bulan sehingga 31 Ogos nanti. Menurut Mohamed Nazri lagi, Zon Beli-Belah Tambahan yang dikenalpasti itu termasuk Jalan Tuanku Abdul Rahman, Bandar Utama, Bandar Sunway, Subang Jaya, Georgetown, Johor Bahru, Melaka, Sabah dan Sarawak. Selain pelancaran Karnival Jualan Mega 1Malaysia, turut dilancarkan hari ini ialah peraduan dalam talian dengan hashtag #BeautifulMalaysia melalui laman sosial Instagram. 

Menurut Mohamed Nazri, peraduan ini akan membolehkan sesiapa sahaja di seluruh dunia memuat naik gambar-gambar menarik sekitar Malaysia yang turut membolehkan mereka memenangi hadiah-hadiah mingguan terbaik. 

"Peserta boleh memaparkan keindahan Malaysia melalui empat elemen termasuk tempat menarik, sambutan perayaan, makanan dan beli-belah dan memuat naik ke Instagram dengan hashtag #BeautifulMalaysia," katanya.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment