Pengerusinya, Datuk Shahariman Hamdan berkata, penganjuran seperti ini dilihat dapat membantu meningkatkan pendapatan pemain dan pengusaha dalam industri berkenaan di negeri ini.

"Persatuan yang baharu diwujudkan September lalu juga berperanan untuk memperkenalkan produk hiliran industri pelancongan yang ada di seluruh daerah kepada pelancong tempatan dan luar negara.

"Menerusi penganjuran program dan aktiviti seperti yang telah dirangka pastinya mampu menarik kedatangan pelancong untuk menggunakan kemudahan inap desa, pemandu pelancong, kraftangan dan teksi ketika berkunjung ke destinasi pelancongan di Pahang," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Shahariman, persatuan ini diwujudkan dengan disertai penggiat pelancongan yang begitu komited untuk meningkatkan taraf ekonomi pengusaha dalam semua sektor dan seterusnya membantu kerajaan negeri mempromosi destinasi pelancongan sebagai tarikan kepada pelancong.

"Banyak perancangan antaranya mengadakan pelbagai program sepanjang tahun depan dengan sasaran dapat membantu meningkatkan jualan dan perolehan pendapatan mereka kepada setiap yang terlibat dengan industri pelancongan.

"Antara program yang dicadangkan ialah Larian Hutan Pahang (Pahang Forest Run) di Merapoh, Eco-Challenge Pelancongan, Karnival Warisan, Festival Kebudayaan Orang Asli, Pahang Treasure Hunt dan Festival Eko dan Alam Sekitar," katanya.

Tambahnya, program itu juga inisiatif bagi meningkatkan sektor industri pelancongan luar bandar di Pahang sekali gus membantu kerajaan negeri dalam mempromosi destinasi menarik di seluruh daerah.

"Kita juga mahu pemain industri pelancongan di Pahang menyertai persatuan ini supaya dapat sama-sama bergabung tenaga memajukan sektor pelancongan tempatan," katanya.
-utusan online.