Sunday 3 August 2014

TMM 2014: Yakin capai sasaran 28j pelancong


PULAU PINANG 2 Ogos - Malaysia masih berada pada landasan yang tepat untuk merekodkan kedatangan seramai 28 juta pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, keyakinan itu berdasarkan peningkatan ketibaan pelancong asing kepada 11 peratus dari Januari hingga Mei tahun ini berbanding 10 peratus tempoh sama tahun lalu.

Menurut beliau, peningkatan itu merupakan petanda positif terhadap industri pelancongan negara di sebalik beberapa tragedi besar yang menimpa negara sejak awal tahun ini.

"Beberapa bulan kebelakangan ini kita berhadapan dengan pelbagai kesulitan seperti penculikan di Sabah dan kehilangan dua pesawat.

"Ramai yang berasakan ini akan menjejaskan pencapaian sasaran kita, tetapi kita masih berada pada landasan mencapai matlamat seramai 28 juta pelancong tahun ini," katanya berucap dalam majlis pelancaran Festival George Town (GTF) Kelima, di sini malam tadi.

Festival selama sebulan itu disambut sempena pengisytiharan Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sebanyak 147 program bakal dianjurkan sepanjang festival itu merangkumi persembahan kebudayaan dan kesenian serta pameran termasuk himpunan sarkas unik terdiri daripada persembahan empat negara iaitu Finland, Jepun, China dan Thailand.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri melahirkan rasa bangga kerana kementeriannya turut terlibat dalam penganjuran GTF yang disifatkan beliau antara pesta yang menjadi tarikan utama bukan sahaja dalam kalangan pelancong dalam negara malah di rantau ini.

Katanya, aspek kesenian merupakan antara cabang pelancongan utama dan Pesta Pelancongan Kesenian Kontemporari 1Malaysia (1MCAT) yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini turut bermatlamat menjadikan negara sebagai destinasi pelancongan kesenian yang popular.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.