Saturday 18 January 2014

Percutian resort tengah bandar raya

Marina Cafe di The Magellan Sutera Resort menyediakan pelbagai menu tempatan dan antarabangsa.

Menjadi satu-satunya resort di tengah bandar raya Kota Kinabalu, Sutera Harbour Resort, menawarkan percutian yang pastinya sukar dilupakan oleh para tetamunya.

Mereka yang berkemampuan dan menginginkan percutian secara eksklusif, namun masih mahukan sesuatu yang lebih mencabar, tidak perlu risau untuk mencari resort atau tempat penginapan kerana semua itu boleh dinikmati secara pakej di Sutera Harbour Resort.

Begitupun, mereka haruslah mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk menikmati keseronokan bercuti sambil melawat tempat-tempat menarik.

Sutera Harbour Resort yang merangkumi dua hotel lima bintang iaitu The Magellan Sutera Resort dan The Pacific Sutera serta kelab rekreasi The Sutera Harbour Marina, Golf and Country Club, menawarkan pakej pelancongan terbaik di negeri ini. Meliputi kawasan seluas 155.4 hektar tanah tebus guna, resort bersepadu ini memiliki kemudahan rekreasi luas termasuk padang golf, gelanggang tenis dan jeti bagi persinggahan kapal-kapal pelayaran mewah.

Pacific Sutera Resort mempunyai 500 bilik dan suite eksklusif dengan hiasan kontemporari dengan harganya bermula daripada RM400, sementara The Magellan pula mempunyai sebanyak 456 bilik dengan kadar bermula daripada RM450 untuk penginapan satu malam.

Seandainya pelancong berminat untuk melawat pulau-pulau berhampiran, mereka boleh menaiki bot resort berkenaan ke Taman Tunku Abdul Rahman yang merangkumi lima buah pulau yang terletak hanya kira-kira 20 minit perjalanan dengan bot dari resort berkenaan. Lima buah pulau indah yang terdapat di situ adalah Manukan, Mamutik, Sulug, Gaya dan Sapi.

Eksekutif Pemasaran dan Komunikasinya, Ryazilah Abdul Rahim berkata, resort itu turut menjalinkan usaha sama dan perkongsian dengan pihak ketiga untuk meningkatkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pelancongan di Sabah.

''Sebagai contoh, kami bekerjasama dengan Jabatan Keretapi Negeri Sabah menawarkan pakej menaiki keretapi stim vintaj yang bertujuan memberi pengalaman zaman silam British Borneo Utara kepada pelancong. "Penumpang yang bakal menikmati pengalaman perjalanan dari Tanjung Aru, melalui pekan Putatan, Kinarut, Kawang dan Papar akan dilayan oleh kru keretapi itu yang lengkap memakai uniform zaman kolonial, selain hiasan dalamannya turut memaparkan dekorasi zaman berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Ryazilah berkata, kepada pelancong bajet, pihaknya turut menawarkan penginapan bajet rendah melalui Sutera Sanctuary Lodges (SSL) yang diuruskan bersama dengan Taman-Taman Sabah. ''Sasaran utama SSL untuk menjadi resort yang dapat memenuhi keperluan tetamu kami daripada pelbagai peringkat, dari orang-orang kenamaan hinggalah ke backpackers," katanya.

Katanya, Sutera Harbour akan meningkatkan lagi kemudahan di resort itu dari semasa ke semasa bagi memastikan semua tetamunya dapat menikmati pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika berada di negeri ini.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.