Sunday 5 January 2014

Perasmian Tahun Melawat Malaysia 2014 meriah



Persembahan tarian tradisional dan pertunjukan bunga api memeriahkan majlis perasmian Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, malam tadi. Perasmiannya dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - MINGGUAN/MOHD. NAJIB MOHD. NOR
KUALA LUMPUR 4 Jan. - Acara perasmian Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin berlangsung dalam suasana meriah dan gilang-gemilang di Dataran Merdeka di sini malam ini.

Puluhan ribu orang ramai termasuk pelancong asing membanjiri dataran berkenaan bagi menyaksikan program pembuka tirai kempen TMM 2014 serta mengikuti ucapan perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri dan menyertai pelbagai aktiviti yang diatur oleh penganjur.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang, menteri-menteri Kabinet dan wakil-wakil kedutaan asing di negara ini turut menghadiri acara tersebut.

Program dimulakan seawal pukul 5 petang dengan persembahan pemuzik-pemuzik jalanan yang menambahkan keceriaan di sekitar Dataran Merdeka sehingga pukul 7 petang.

Majlis perasmian seterusnya berlangsung mulai pukul 8 malam sehingga 10.30 malam dengan menyaksikan Muhyiddin menyentuh bebola kaca sebagai gimik pelancaran TMM 2014.

Persembahan artis-artis terkenal tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Khadijah Ibrahim, Nash, Amy Search, Azlan & The Typewritter, Hafiz dan Najwa Latif terus menghiburkan orang ramai selama sejam sehingga pukul 11.30 malam.

Selain itu, para pelajar Universiti Lim Kok Wing turut mempersembahkan lagu tema TMM 2014 yang bertajuk Celebrating 1Malaysia Truly Asia.

Orang ramai juga tidak melepaskan peluang menikmati pelbagai juadah tempatan yang dihidangkan sambil menyaksikan demonstrasi kraftangan mulai pukul 10 malam. Persembahan bunga api dan pertunjukan pemetaan bangunan Sultan Abdul Samad yang memaparkan pelbagai tarikan pelancongan di Malaysia turut diadakan sempena acara perasmian itu.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.