Timbalan Pengerusinya, Datuk Maznah Mazlan berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi pemi­lihan kewujudan MyFest2015 yang dilihat dapat membantu menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke Malaysia pada tahun hadapan.

Beliau berkata, MyFest2015 mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana menampilkan pelbagai festival daripada etnik-etnik yang terdapat di negara ini dan dapat menonjolkan serta meraikan kepelbagaian budaya dan perayaan yang dapat dijadikan tarikan kepada pelancong.

“Selain festival utama seperti sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Dee­pa­vali dan Krismas, antara lain yang akan turut diketengahkan adalah festival berteraskan muzik dan floral.

“Saya juga yakin 2015 merupakan satu lagi era baharu dalam sektor pelancongan dan kebudayaan kita, malah mampu untuk meningkatkan lagi struktur ekonomi dan melonjakkan pendapatan negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmi­kan Majlis Menyediakan Kek Krismas Terpanjang Malaysia yang dicatatkan dalam Malaysia Book of Records di Colmar Tropicale Resort Bukit Tinggi, Berjaya Hills dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Hills, Teh Ming Wah dan Ketua Cef Kek Krismas Terpanjang, Daniel Helmstetter.

MyFest2015 akan melengkapkan Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia dengan sasaran negara untuk menerima sebanyak 36 juta pelancong dan sebanyak RM168 bilion pen­dapatan pelancongan pada 2020.

Mengulas lanjut, Maznah berkata, pelbagai perancangan kini di­atur supaya perjalanan yang dila­kukan akan dapat dilaksanakan se­cara efisien dan berkesan.

“Kita berharap dengan usaha yang sedang giat dijalankan akan membuahkan hasil kerana sekarang ini, promosi domestik ke seluruh negeri juga sedang diatur.

“Malah, kita juga akan memastikan semua pihak berkepentingan seperti pengusaha hotel dan pusat peranginan, ejen-ejen pelanco­ngan dan pemain industri mendapat maklumat terkini agar objektif MyFest 2015 dapat dicapai,” jelasnya.

Katanya, acara pelancongan terbesar untuk tahun hadapan ini selain memberi fokus kepada festival perayaan dan kebudayaan, juga akan mempromosikan program la­in termasuk acara yang bersifat kekeluargaan dan membeli-belah.
Maznah berharap semua agensi kerajaan, sektor swasta, pemain dan pengusaha industri pelanco­ngan untuk turut serta menjayakan MyFest 2015.
-utusan online.