Tuesday 19 November 2013

Promosi agresif Tahun Melawat Sarawak 2014

KEMPEN VSY 2014: Abang Johari (dua kanan) melepaskan CATS Rangers yang akan mempromosikan Tahun Melawat Sarawak 2014 di seluruh Sarawak dari Kuching ke Lawas. — Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Kementerian Pelancongan Sarawak melancarkan Kempen Media Tahun Melawat Sarawak (VSY) 2014 secara agresif bagi mempromosikan semua destinasi pelancongan menarik di negeri ini sepanjang tahun 2014.

Menerusi kempen yang dijalankan secara agresif itu, Kementerian Pelancongan 
Sarawak menyasarkan peningkatan jumlah kedatangan pelancong sebanyak 12 peratus bagi tahun 2014 berbanding 4.1 hingga 4.2 juta tahun ini.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata kempen media VSY 2014 merupakan kerjasama antara kementerian dengan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan CATS FM.

Selain pelancaran VSY 2014, turut dilancarkan kempen khas Tahun Melawat Sarawak bersama Bus Asia yang akan mengiklankan logo VSY bagi laluan Pontianak menuju Brunei berserta promosi tarikan-tarikan yang ditawarkan di Sarawak sepanjang 2014.

“Kami juga akan melancarkan program menerusi CATS FM dan laman web baharu Sarawakadventures.com yang akan memperkenalkan beberapa tempat menarik dalam satu pakej pelancongan pada harga yang berpatutan termasuk tambang penerbangan MASwings.

“Pakej-pakej menarik ini tidak hanya boleh dinikmati oleh rakyat Sarawak malah turut boleh dinikmati oleh mereka dari Semenanjung Malaysia, Singapura, Sabah dan seluruh dunia,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada pelancaran Kempen Media Tahun Melawat Sarawak 2014 yang berlangsung di Plaza Merdeka di sini malam kelmarin.
Turut hadir, Menteri Muda Pelancongan Datuk Gramong Juna dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik.

Tambah Abang Johari, setakat Oktober 2013, seramai empat juta pelancong memasuki Sarawak dan membelanjakan kira-kira RM8.6 bilion sepanjang berada di negeri ini.

Kementerian dalam pada itu menyasarkan peningkatan jumlah kedatangan pelancong ke Sarawak dengan terlaksananya Legasi Warisan serta Samariang Borneo Resort.

Bagi menampung bilangan pelancong yang semakin meningkat, kementerian katanya akan berusaha menambahkan bilangan pesawat  dan terbaharu pada 7 Disember depan sebuah pesawat AirAsia baharu akan memulakan penerbangan bagi laluan Miri ke Manila.

Justeru, Abang Johari berharap rakyat Sarawak akan bekerjasama dengan kementerian, STB dan agensi-agensi lain yang berkaitan dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelancong dari dalam dan luar negara bagi melonjakkan industri pelancongan negara.
-Borneo Post Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.