Sunday 10 November 2013

Fotografi medium perkenal budaya

Mohamed Nazri mencuba kamera ketika merasmikan Pameran dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Lensa Meletup! sambil diperhatikan oleh Mahfooz Nabi Rasol, Hanek Masjak dan Mohamed Hashim di Balai Seni Visual Negara, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Seni fotografi masa kini berpotensi sebagai medium dalam memperkenalkan budaya serta cara hidup rakyat Malaysia ke mata dunia.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, ini berikutan alat perakam seperti kamera kini semakin menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat. "Oleh sebab itu, karyawan seni fotografi turut memainkan peranan penting dalam mempromosi negara supaya lebih terkenal di peringkat global melalui gambar-gambar kehidupan dihasilkan.

"Malah, mungkin pada masa hadapan kita turut membuka ruang kepada pelancong untuk berkongsi pengalaman berada di Malaysia melalui pertandingan fotografi yang dianjurkan," katanya ketika berucap merasmikan Pameran dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Lensa Meletup! Pancaindera/Mingguan Malaysia 2013 di Balai Seni Visual Negara dekat sini hari ini.

Majlis tersebut diadakan bagi meraikan 30 pemenang dalam pertandingan bertemakan Panorama Malaysia yang telah berlangsung pada 30 Jun sehingga 29 September lalu. Gambar-gambar dihasilkan akan dipamer di Balai Seni Visual Negara selama sebulan mulai hari ini.

Pertandingan anjuran bersama Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dan rakan strategik Nikon (Malaysia) Sdn. Bhd., Lexmark International (Malaysia) Sdn. Bhd. dan Legoland Malaysia Resort itu menerima kira-kira 1,000 penyertaan dari seluruh negara.

Yang hadir sama dalam majlis itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali dan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Haned Masja dan Pengurus Kanan Nikon Professional Services Perkhidmatan Pelanggan Bahagian Pemasaran Nikon Malaysia Sdn. Bhd., Mahfooz Nabi Rasol.

Sementara itu, Mohd. Nasir berkata, pertandingan yang dianjurkan itu merupakan satu tanda penghargaan kepada penggiat seni fotografi amatur serta profesional yang terbukti mempunyai bakat tersendiri.

"Ini merupakan salah satu usaha untuk membuka laluan kepada orang ramai menzahirkan kreativiti mereka menggunakan seni visual yang semakin mendapat tempat dalam kebudayaan Malaysia dan mempersembahkan kepada pelancong luar secara lebih unik dan berkesan,'' katanya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.