Thursday 14 November 2013

Ekspo Doraemon bakal meriahkan TMM 2014

Ketua Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Dr. Amarjit Singh (lima dari kanan) dan Steve Chow (lima dari kiri) serta sebahagian daripada kanak-kanak bersama maskot Doraemon di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Kemunculan watak kartun animasi Jepun, Doraemon di Malaysia sempena 'Expo Doraemon Secret Gadget' Disember ini bakal memeriahkan lagi promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014).

Pengarah Animation International (M) Sdn. Bhd., Steve Chow berkata, ekspo tersebut diadakan bagi memberi peluang kepada peminat kesayangan kartun comel itu bersama-sama menyambut TMM 2014 serta menandakan 100 tahun sebelum kelahiran Doraemon.

"Ekspo ini akan berlangsung selama tiga bulan bermula dari 14 Disember sehingga Mac tahun hadapan di Viva Home Expo Hall.

"Melihat sambutan hangat daripada masyarakat terhadap ekspo ini, kami berharap akan dapat berkongsi suasana magis yang sama melalui kegembiraan, bersatu padu dan ikatan mesra bagi mewujudkan nilai murni kekeluargaan dalam kalangan peminat Doraemon," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambahnya, Malaysia merupakan negara Asia Tenggara pertama mengadakan ekspo mega itu dan telah mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Sekretariat TMM 2014.

"Kami berharap dengan sokongan daripada kementerian, akan dapat menarik lebih ramai keluarga serta peminat-peminat Doraemon daripada negara jiran seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei dan Filipina.

"Sebelum Malaysia, ekspo ini telah diadakan di ibu negara Asia lain seperti Hong Kong, Beijing dan Taiwan, sambutan yang diberikan peminat kartun ini amat memberangsangkan," ujarnya.

Ekspo tersebut akan mempamerkan 100 patung Doraemon bersaiz manusia, 100 gajet ikonik dan turut mempamerkan video menarik dalam program televisyen kartun itu.

Para pengunjung boleh mendapatkan tiket bernilai RM25 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak bermula 30 November ini di laman web MYTicket Malaysia (www.myticket.my) ataupun di lebih 100 buah stesen minyak BHP di seluruh Malaysia bermula 1 Disember.

Manakala kanak-kanak berumur tiga tahun ke bawah serta warga emas, dibenarkan untuk memasuki ekspo tersebut secara percuma.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi Doraemon di www.100Doraemon.com.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.