Sunday 17 November 2013

3 pusat beli-belah premium baharu jana pendapatan pelancongan


KUALA LUMPUR 17 Nov. - Tiga buah pusat beli-belah premium bakal diwujudkan bagi menjana pendapatan pelancongan kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Tan Sri Aziz.

Kata beliau, ini juga bagi menampung kehadiran pelancong luar negara yang akan membanjiri negara sempena Tahun Melawat Malaysia tahun depan. "Tambahan tiga pusat beli-belah premium itu juga selari dengan saranan kerajaan yang telah menjadikan pelancongan beli-belah sebagai agenda ekonomi nasional yang juga mampu meletakkan Malaysia sebagai destinasi pusat beli-belah bebas cukai di rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan perasmian Acara Jualan Akhir Tahun 1Malaysia (1MYES) di Esplanade, KLCC di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Azizan Noordin.
Acara pelancaran itu juga turut dihadiri oleh 221 peserta program suai kenal mega (Mega Fam) dari 23 buah negara.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri turut menambah, pelancongan beli-belah kini semakin berkembang dalam industri pelancongan dan Malaysia dilihat berpotensi dalam menyertai segmen itu.

"Malaysia dirahmati dengan industri beli-belah dinamik. Kita mempunyai 320 pusat beli-belah yang menawarkan 100 juta kaki persegi yang digunakan oleh peruncit dengan nilai hartanah sebanyak RM100 bilion," katanya.

Tambah Mohamed Nazri lagi, dengan pelbagai kempen beli-belah di Malaysia sebanyak tiga kali setahun, kehadiran pelancong dilihat meningkat sejak 2011.

"Pada 2012, Malaysia menyaksikan kehadiran 25.03 juta pelancong dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM60.6 bilion di mana perbelanjaan pelancong di sini meningkat pada tahun 2012 dengan 30.7 peratus berbanding 30 peratus pada 2011," katanya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.