Wednesday 25 September 2013

Tourism Malaysia Yakin Sasaran 36 Juta Pelawat Pada 2020 Boleh Dicapai

photo: Malaysia Truly Asia facebook

PUTRAJAYA, 24 Sept (Bernama) -- Tourism Malaysia yakin sasaran ketibaan 36 juta pelancong ke negara ini dengan penjanaan keuntungan sebanyak RM168 bilion pada 2020 dapat dicapai.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia Datuk Azizan Noordin berkata usaha merealisasikan sasaran tersebut sedang giat dilaksana, namun pada masa yang sama memerlukan kerja keras semua pihak dalam sektor berkenaan.

"Sasaran kita sekarang ialah pelancong dari negara-negara Asean seperti Singapura, Thailand dan Indonesia selain Timur Tengah serta pelancong dari Eropah," katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta 'Malaysia Tourism Hunt 2013' di sini Selasa.

Beliau berkata antara promosi yang dipergiatkan ialah produk 'fly & drive' iaitu pelancong tiba dengan penerbangan dan kemudian memandu sendiri untuk menjelajah Malaysia. Peningkatan promosi ini juga ekoran sistem lebuh raya di negara ini yang merupakan antara yang terbaik di dunia selain mesra pengguna, sekali gus akan memudahkan pelancong, katanya.

Azizan berkata sasaran serta capaian pelancong juga meningkat dari tahun ke tahun iaitu tahun lepas sebanyak 25.3 juta juta tiba di negara ini dan bagi tahun ini pula sebanyak 26 juta pelawat. "Tahun hadapan sasaran kita ialah 28 juta pelancong dengan pendapatan ialah RM75 bilion," katanya.

Sebanyak 78 peserta yang merupakan pengamal media dari dalam negara dan rantau Asean, wakil penggiat industri pelancongan tempatan serta wakil penaja menyertai program selama enam hari lima malam itu yang akan berakhir di Johor Baharu, Johor.

Mereka akan melalui perjalanan sejauh 1,000 kilometer meliputi lebuh raya, laluan pelancongan dan jalan kampung sambil menyelesaikan pelbagai cabaran dan pada masa yang sama menikmati keindahan Malaysia.

-bernama.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.