Wednesday 28 August 2013

Ikon baharu pelancongan Perak


Suasana dalaman Masjid Muhammadiah yang berkonsepkan reka bentuk Cina.

IPOH 26 Ogos - Masjid Muhammadiah di Taman Tasek Jaya di sini, yang merupakan masjid pertama di negara ini yang dibina dengan seni bina Cina sepenuhnya bakal menjadi mercu tanda dan ikon pelancongan baharu di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, meskipun belum siap sepenuhnya masjid Cina yang sudah beroperasi sejak 4 Ogos lalu itu telah menerima kunjungan penduduk setempat dan pelancong luar kerana keunikan rekaannya.

Sehubungan itu, menurut Zambry, beliau telah mengarahkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melakukan beberapa penambahbaikan di kawasan sekitar masjid termasuk memperindahkannya dengan landskap sesuai serta mengatasi masalah pembuangan sampah yang terletak begitu hampir dengan masjid.

"Selain bakal menjadi mercu tanda kepada rakyat di Perak kerana semua pihak dapat melihat sendiri kepelbagaian seni rekanya yang menggunakan konsep senibina Cina sepenuhnya, Masjid Muhammadiah juga menjadi salah satu masjid pelancongan di negeri ini kerana keunikan yang dimiliki itu.

"Oleh itu, kita mahu kawasan ini indah dan bersih. Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Datuk Bandar dan meminta supaya langkah-langkah tertentu dapat diambil secepat mungkin," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri di masjid berkenaan di sini semalam.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Masjid berkenaan, Datuk Dr. Fadzli Cheah Abdullah dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd. Yusop Husin.

Dalam majlis tersebut, Zambry turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM300,000 untuk proses penambahbaikan masjid berkenaan.
Pembinaan masjid yang menelan kos RM3.7 juta itu bermula sejak 24 November 2011 dan dijangka siap sepenuhnya bulan depan adalah hasil sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak; Kerajaan Pusat; Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Ipoh dan orang ramai.

Fasa pertama pembangunan masjid tersebut meliputi pembinaan dewan solat dan ruang aktiviti. Dewan solat wanita di bahagian atas boleh menempatkan sebanyak 200 anggota jemaah manakala ruang solat di bahagian bawah mampu memuatkan 800 orang.

Sementara itu, Fadzli Cheah yang juga Pengerusi Macma Ipoh berkata, kewujudan masjid tersebut bertujuan menampung pertambahan penduduk di situ selain memudahkan perkembangan syiar Islam di kawasan berkenaan.

Menurutnya, fasa kedua projek pembinaannya bakal dimulakan bulan depan dengan kos hampir RM3 juta untuk membangunkan pusat dakwah, pendidikan, dewan serbaguna dan perpustakaan.

"Meskipun popular dengan gelaran masjid Cina, namun masjid ini bukan hanya dikunjungi orang Cina yang beragama Islam sahaja, malah daripada bangsa-bangsa lain. "Jadi, kita merancang untuk menggunakan pelbagai bahasa perantara dalam aktiviti yang dijalankan termasuk ketika tazkirah dan ceramah untuk kemudahan pengunjung," katanya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.