Monday 26 August 2013

HM Mountain Bike Grand Prix 2013 CC1M Tambah Kemeriahan Aktiviti Berbasikal Di Malaysia

PERAK, 25 OGOS 2013: Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan Harian Metro untuk menganjurkan program Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013 Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) di lima buah lokasi bagi merancakkan aktiviti berbasikal di Malaysia sekaligus meningkatkan promosi pelancongan berbasikal di Malaysia.

Objektif program ini bukan sahaja untuk membentuk ‘trend’ sukan “mountain bike” di kalangan rakyat Malaysia tetapi juga mempromosikan sukan tersebut sebagai sebahagian daripada inisiatif pelancongan sukan berbasikal.

Siri jelajah kedua Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013 CC1M telah berlangsung dari 24 hingga 25 Ogos di Kellie’s Castle,  Batu Gajah di Perak manakala siri jelajah seterusnya akan dianjurkan di Kuala Terengganu (27-28 September), Legoland, Nusajaya (26-27 Oktober) dan lokasi terakhir dijangka akan diadakan di Kuala Kangsar, Perak (23-24 November).

Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013 CC1M siri jelajah pertama telah diadakan di Presint 15, Putrajaya pada 2 Jun 2013 yang lalu melibatkan seramai 1,500 peserta tempatan dan pelbagai negara ASEAN. 

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, YBhg. Dato’ Mirza Mohammad Taiyab dalam ucapannya berkata bahawa Tourism Malaysia amat berpuas hati dan gembira dengan jumlah penyertaan yang amat menggalakkan pada siri jelajah pertama serta komitmen tinggi yang telah ditunjukkan oleh semua pihak untuk menjayakan program ini.

Pakej pelancongan berbasikal telah diperkenalkan di Malaysia oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Tourism Malaysia pada penghujung tahun 2011 di Putrajaya. Pakej “Discover Putrajaya Cycling Packages” merupakan pakej pelancongan berbasikal yang pertama sekali diperkenalkan oleh Tourism Malaysia dan telah dilancarkan oleh mantan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, YB Dato’ Sri Dr. Ng Yen Yen pada 17 Disember 2011.

Selain itu, Tourism Malaysia juga telah melancarkan pakej berbasikal Cuti-Cuti 1Malaysia  sempena Kayuhan Sihat CC1M di Raub pada 1 April 2012. 

Bagi merancakkan lagi aktiviti berbasikal di negara ini, Tourism Malaysia juga telah menganjurkan pelbagai program berbasikal sepanjang tahun 2012 dan awal 2013 seperti Cuti-Cuti 1Malaysia Sunday Bike Ride @ Raub, Kayuhan Merdeka di Raub, Kayuhan Sihat dan MTB Fun Ride @ Melaka, Kayuhan Sihat @ Tersang dan Le Tour de Homestay Selangor.

Setakat ini, sebanyak 190 pakej pelancongan berbasikal telah dibangunkan dengan kerjasama 92 buah agensi pelancongan tempatan. 

Antara pakej-pakej pelancongan berbasikal yang telah dibangunkan termasuklah CC1M Bike Ride Georgetown Bicycle & Trishaw Packages, CC1M Sabah Bike Ride - Bah Let’s Go Cycling, CC1M Bike Ride Kuching, Special Cycling Packages@Raub, CC1M Nature Ride Hulu Selangor, CC1M Terengganu Bike Ride, CC1M Perak Bike Ride – Discover Perak Cycling Package, CC1M Putrajaya Bike Ride Packages featuring Paya Indah Wetlands, CC1M Johor Bike Ride, Pakej Berbasikal Kedah Darul Aman 2013, Melaka Cycling Packages 2013/2014, Pakej Berbasikal Perlis 2013, Pakej Istimewa Tersang dan Pakej Berbasikal Kelantan.

Sepanjang tahun 2012, sebanyak 4,982 buah pakej pelancongan berbasikal telah terjual di seluruh negara dengan jumlah jualan sebanyak RM581,190. Sementara itu, sebanyak 2,745 buah pakej pelancongan berbasikal bernilai RM461,775 telah berjaya dijual di seluruh negara dari Januari hingga Jun 2013.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.