Tuesday 2 July 2013

Kelip-kelip Sungai Lubuk Durian


Suasana malam Sungai Lubuk Durian yang menawarkan keindahan kerlipan kelip-kelip ini boleh dinikmati di Kampung Pulau, Kubang Kerian.

KOTA BHARU 1 Julai - Sebahagian besar rakyat Kelantan terutamanya penduduk sekitar Kota Bharu mungkin tidak menyedari keistimewaan di sebalik Sungai Lubuk Durian di Kampung Pulau, Kubang Kerian di sini.

Bagi mereka, ia mungkin sekadar sungai biasa yang menjadi lokasi tumpuan kaki pancing untuk mengisi masa terluang.

Namun, tempat yang dianggap sebuah pulau biasa sebenarnya merungkap kepada misteri alam di mana terdapat lokasi hinggapan kelip-kelip yang begitu indah dengan cahaya yang sebelum ini hanya diketahui kewujudannya di Selangor, Pahang dan Johor.

Jutaan kelip-kelip menjadikan pokok berembang yang tumbuh di tepi pulau itu sebagai habitat mereka dilihat umpama pohon bercahaya yang berkelipan sepanjang malam. Ternyata ia boleh dijadikan sebagai salah satu aktiviti waktu malam yang cukup indah dengan ditemani cahaya bulan dan kelipan cahaya kelip-kelip yang menggamit suasana malam.

Dikatakan hanya terdapat beberapa tempat di dunia ini yang mempunyai keajaiban misteri kelip-kelip dan kewujudannya yang terletak dipinggir bandar utama negeri Kelantan ini telah menambah satu lagi lokasi menarik yang harus dikunjungi.

Min Camp House yang dikendalikan pasangan suami isteri Mohamad Zanini Mahamood, 58, dan Wan Noriah Wan Ramli, 57, ini ternyata membuka peluang kepada masyarakat tempatan yang ingin merasai pengalaman menyaksikan cahaya kelip-kelip.

Menurut Wan Noriah, dari jeti Min House Camp, mereka akan dibawa menyusuri Sungai Lubok Durian dengan menaiki bot yang boleh memuatkan sehingga lima orang dengan kadar bayaran serendah RM10 seorang. “Kami menyediakan tiga buah bot untuk ke pulau itu pada setiap hari dan waktu yang paling sesuai untuk melihat aksi kelip-kelip ini ialah bermula pukul 8 sehingga 11 malam.

“Daripada bot yang disediakan, pengunjung berpeluang melihat keajaiban kelip-kelip secara dekat di mana kelip-kelip akan berkeliaran dan berkelipan sepanjang malam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, kebanyakan pengunjung yang dibawa ke situ terdiri daripada penghuni di resortnya yang mula beroperasi sejak tiga tahun lalu kerana setakat ini tempat tersebut masih belum diketahui ramai. “Selain pengunjung tempatan, pelancong asing juga ramai yang kami bawa ke situ, antaranya dari Eropah, Jepun dan Singapura.

“Pengunjung akan dibawa menaiki bot yang dikendalikan oleh pekerja yang berpengalaman dan akan menyusuri sungai selama 30 sehingga 45 minit untuk melihat aksi kelip-kelip," katanya. Beliau berkata, pada waktu hujan dan bulan terang, pengunjung tidak akan dapat menikmati cahaya kelip-kelip kerana pada waktu tersebut, haiwan tersebut tidak mengeluarkan cahaya.

“Tempat ini juga tidak dibuka pada musim tengkujuh kerana waktu yang terbaik untuk melihat haiwan ini adalah pada musim kemarau iaitu bermula Februari hingga Oktober," jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri dan Tourism Malaysia Kelantan juga telah bersetuju membantu menanam lebih banyak lagi pokok berembang bagi meningkatkan populasi kelip-kelip memandangkan jumlah pengunjung yang semakin ramai datang selepas ini.

“Pokok berembang yang tumbuh di tepi pulau itu menjadi tumpuan kelip-kelip untuk menumpang sepanjang malam kerana pokok tersebut adalah sumber makanan kepada serangga itu. Justeru, kita memerlukan lebih banyak pokok tersebut untuk masa akan datang," katanya.

Seorang pengunjung, Nur Ain Othman, 23, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan berkata, ini adalah kali pertama dia datang ke tempat itu dan ia satu pengalaman yang cukup indah.

“Sebelum ini saya tidak tahu akan kewujudan tempat ini. Namun setelah mendapat tahu daripada rakan-rakan, saya begitu teruja untuk merasai sendiri keunikan cahaya kelip-kelip," katanya.

Rakannya, Zalina Mohamad, 23, yang berasal dari Melaka, turut mengakui ini adalah pengalaman baharu baginya apabila berpeluang menyusuri sungai sambil menyaksikan keunikan kelip-kelip. “Saya cukup teruja melihat pohon yang dikerumuni kelip-kelip kerana ia kelihatan seperti cahaya lampu yang berkelipan sepanjang malam dan ternyata ia sungguh indah," katanya yang begitu teruja merasai pengalaman tersebut bersama rakan-rakannya.

Zalina berkata, dia tidak akan teragak-agak untuk berkunjung ke sini lagi bersama-sama keluarga bagi menyaksikan keindahan kelip-kelip di kawasan itu.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.