Thursday 4 July 2013

Destinasi Menarik Di Sekitar Lembah Kelang Jadi Tumpuan Para Peserta Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa KE-55

PUTRAJAYA, 4 JULAI 2013: Bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2014, Tourism Malaysia telah mengatur beberapa lawatan khas bagi mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan yang terdapat di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor kepada para peserta Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-55 dari 30 Jun hingga 5 Julai 2013.

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-55 sedang berlangsung dari 29 Jun hingga 6 Julai 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Perdagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur dan telah disertai oleh 77 orang peserta dari 46 buah negara.

Tourism Malaysia telah dilantik buat pertama kalinya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kerja Lawatan di bawah Jawatankuasa Pelaksanaan Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa ke-55 Tahun 1434H/2013M.

Kesemua peserta tersebut telah menyertai satu seminar mengenai pelancongan Islam anjuran Pusat Pelancongan Islam pada 30 Jun di Masjid Putra, Putrajaya.

Pada seminar tersebut, Pengarah Urusan Triways Travel Network, Tuan Haji Mohd Akil Haji Mohd Yusoff telah membentangkan kertas seminar bertajuk “Islamic Tour: Sharing of Experience” manakala Naib Pengerusi Islamic Outreach ABIM dan Pengarah Projek Dakwah Melalui Pelancongan Masjid, Puan Normah Sulaiman telah membincangkan tajuk “Tourism and Islam: The Mosque as a One-Stop Centre”.

Para peserta turut diperdengarkan bacaan Al-Quran dan qasidah oleh Datin Seri Hajah Sharifah Khasif, johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009.

Pada 1 Julai, para peserta telah dibawa melawat Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan solat di Masjid  As Syakirin, KLCC.

Para peserta juga telah menaiki Cruise Tasik Putrajaya untuk mengelilingi tasik Putrajaya sebelum dibawa melawat inap desa Banghuris di Sepang pada 2 Julai manakala keesokkan harinya mereka telah mengunjungi Kompleks Taman Seni Islam Selangor di Shah Alam untuk menyaksikan Festival Warisan Rasul & Anbiya, solat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam dan melawat kilang mencetak Al-Quran di Batu Tiga, Shah Alam.

Pada 4 Julai, para peserta akan melawat Menara Wakaf milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selepas mendengar penerangan dari pihak MAIWP manakala keesokkan harinya, para Qari akan diberi peluang untuk menunaikan sembahyang Jumaat di Masjid Negara.

PAKEJ PELANCONGAN MAJLIS TILAWAH AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA KE-55

Di samping itu, Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan pelbagai agensi pelancongan dalam dan luar negara untuk menghasilkan dan menjual pakej pelancongan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-55 di negara-negara ASEAN sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan promosi pelancongan Islam di negara ini.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.