Wednesday 1 May 2013

Umpama berada di alam fantasi


Sebuah bilik tidur berdindingkan kayu dihias indah dengan siling berukir dan lampu gantung.

Sebaik memasuki jalan berbatu menuju ke kawasan berbukit di Sungai Ara dekat Bayan Lepas, Pulau Pinang, wartawan S2 tertanya-tanya sama ada laluan tersebut benar-benar menuju ke Fig Tree Hill Resort. Hal ini kerana keadaan di kiri kanannya hanyalah dusun durian serta kawasan hutan yang mustahil menempatkan sebuah resort yang sering dikunjungi pelancong dari dalam dan luar negara.

Namun sebaik tiba di penghujung jalan sejauh 2.5 kilometer, semua perasaan gementar hilang tatkala melihat binaan vila yang amat cantik berdindingkan kayu tersembunyi di atas bukit itu. Perasaan kagum mula menjelma apabila pandangan mata disajikan dengan hamparan kayu galas landasan keretapi menuju ke pintu masuk.

Sebaik tiba kami dibawa pengurus resort berkenaan, Soon Aik Seng ke sebuah wakaf terapung yang dijadikan ruang rehat dan tempat makan. Menurut Aik Seng, resort itu baru dibuka awal tahun lalu selepas mengambil masa hampir dua tahun untuk dibina berkonsepkan Bali dan tradisional Melayu. Jelasnya, resort itu yang diilhamkan oleh bapanya, Soon Seong Moh menempatkan lima vila yang mempunyai dekorasi berbeza setiap satu iaitu Jasmine, Melor, Kemboja, Cempaka dan Lili.

"Resort ini menawarkan suasana percutian yang berbeza bagi pelancong kerana Pulau Pinang terkenal dengan percutian pantai serta hotel-hotel mewah di tengah bandar Georgetown. "Memang ramai yang tidak percaya di dalam hutan yang dikelilingi dusun durian ini terdapat sebuah resort yang menampilkan ciri-ciri Bali dan tradisional Melayu yang sukar ditemui di tempat lain di negeri ini," katanya. Tambahnya, nama-nama vila itu dipilih berdasarkan bunga tempatan bagi menjadikan ia berbeza di antara satu sama lain kerana setiap satu memiliki dekorasi serta kemudahan tersendiri.
Setiap vila mempunyai keistimewaan tersendiri, misalnya vila Lili menempatkan kolam renang terbuka yang dikelilingi hutan yang menghijau.

Ujarnya, di vila Lili misalnya disediakan kolam renang dan gimnasium manakala di vila Cempaka terdapat kemudahan karaoke dan jakuzi serta di vila Melor terdapat bilik mesyuarat yang boleh disewa pengunjung.

Selain itu, keunikan resort berkenaan adalah ia dibina menggunakan kayu sepenuhnya, manakala pokok-pokok yang ada di sekeliling dikekalkan bagi menyediakan landskap asli. Hiasan dalam bilik-bilik di setiap vila juga menampilkan ciri-ciri Melayu dan Bali seperti ukiran kayu pada siling bilik di vila Lili dan susunan sempoa dalam bilik di vila Melor.

Ditanya mengenai sambutan pelancong, Aik Seng berkata, sehingga September ini, vila berkenaan telah habis ditempah untuk cuti hujung minggu. "Kira-kira 60 peratus pengunjung di resort ini adalah rakyat tempatan manakala selebihnya warga asing terutama mereka yang mengikuti program Malaysia Rumah Keduaku. "Antara pelancong asing yang pernah menginap di resort ini terdiri daripada warga Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, Korea serta Asia Barat," ujarnya.

Resort tersebut juga sering menjadi pilihan untuk percutian keluarga, sambutan hari jadi, majlis perkahwinan dan mesyuarat korporat. Fig Tree Hill juga adalah sebuah resort yang amat sesuai untuk pakej berbulan madu kerana suasananya yang sunyi serta berbeza daripada hotel-hotel biasa. Antara aktiviti yang disediakan di situ adalah berbasikal bukit dan menjelajah hutan sehingga ke air terjun yang terdapat berhampiran resort.

Pengunjung yang menginap di situ pada musim buah-buahan juga pastinya teruja untuk menikmati durian, cempedak, nanas dan manggis. Ternyata pengalaman berada di Fig Tree Hill Resort menjadikan wartawan S2 seolah-olah berada di dunia fantasi di sebalik hutan yang memisahkan antara keindahan alam dan suasana penuh kesibukan di pekan Sungai Ara.
-utusan online.
www.figtreehillresort.com

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.