Saturday 25 May 2013

Nyonya & The Gang @ Istana Budaya (14~20 June 2013)



Nyonya & The Gang adalah sebuah persembahan teater yang menggabungkan dua cerita dalam satu persembahan. Naskhah Nyonya ditulis oleh Wisran Hadi akan diarahkan oleh Dekan Fakulti Teater ASWARA, Rosminah Mohd Tahir. Manakala, The Gang adalah sebuah karya baru yang ditulis dan diarahkan oleh Siti Rohayah Attan.

SINOPSIS NYONYA

Skrip Nyonya mengisahkan tentang seorang wanita kaya yang hanya dipanggil sebagai Nyonya yang harus `berperang’ dengan Tuan iaitu seorang pedagang barang antik yang mempunyai pelbagai muslihat. Tuan berkali-kali ke rumah Nyonya. Tujuan asalnya hanya duduk di perkarangan rumah Nyonya, tetapi setelah ditegur oleh Nyonya, dia telah membeli satu meter persegi di perkarangan itu supaya dia dapat berdiri di situ. Ini bererti Nyonya tidak mempunyai hak untuk mengusir dia.

Setelah membeli ruang di perkarangan itu, Tuan terus datang dan mahu membeli marmar rumah Nyonya pula. Kemudian, mahu membeli set ruang tamu, diikuti set meja makan dan akhirnya mahu membeli tempat tidur Nyonya.

Pelbagai cara dan muslihat digunakan untuk mendekati Nyonya apatah lagi mengetahui suami Nyonya yang tua sedang terlantar di rumah sakit akibat kanser lidah. Muslihat terakhir Tuan adalah dengan menyatakan lutut Nyonya akan membengkak dan berdarah sekiranya Nyonya terus berdiri, lalu dia mahu Nyonya duduk dan berbaring bersamanya di atas katil.

Dalam masa yang sama Nyonya asyik didatangani 3 Keponakan (Anak Saudara Perempuan) kepada suaminya yang menuntut harta. Mereka menggunakan pelbagai helah untuk mendapatkan harta tersebut.

Naskhah ini jika dilihat secara kasar merupakan antara karya yang bersifat humor dan emosi kerana penampilan watak-wataknya yang menggunakan dialog berjenaka. Namun, apabila mentafsirkannya secara tersirat ia adalah sebuah karya sastera yang kaya dengan metafora, simbol dan personafikasi yang mampu membuat khalayak berfikir ssecara professional.

SINOPSIS THE GANG

THE GANG adalah satu kumpulan karyawan seni yang mempromosi gaya hidup sihat melalui kegiatan seni. Mereka terdiri daripada pelbagai peringkat usia yang mampu menari, berlakon dan menyanyi. Mereka mengetengahkan konsep lakonan, tarian dan nyanyian dalam usaha berkempen, memberi teguran dan mempromosikan produk yang memberi faedah kepada masyarakat.

Contohnya, mereka menegur cara hidup rakyat Malaysia yang tidak sihat dari segi pemakanan sehingga menjadi obes dan tidak mempunyai perancangan untuk mengurangkan berat badan. Di samping itu, sikap tidak mahu mengeluarkan sebahagian wang untuk membeli produk kesihatan (supplements) juga ditegur, sebaliknya lebih menyukai kepada perkara-perkara yang tidak sihat dalam hidup seperti ke disko, makan lewat malam dan mengamalkan sex bebas.

Dalam masa yang sama, The Gang juga menasihatkan kaum wanita dan mereka yang sukakan kecantikan supaya tidak terpengaruh dengan produk yang membahayakan hanya kerana mahu menjadi cantik. Sebaliknya, mereka dinasihatkan memilih produk yang diakui keberkesanannya dan tidak mendatangkan kesan negatif.

Konsep persembahan secara muzikal ini menampilkan lima lagu yang dicipta oleh Datuk Suhaimi Mohd Zaid manakala liriknya oleh Siti Rohayah Attan. Mereka akan tampil dalam pelbagai gaya iaitu retro, bersukan dan santai.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.