Friday 26 April 2013

“HM MOUNTAIN BIKE GRAND PRIX 2013” ~ CC1M Tambah Kemeriahan Aktiviti Berbasikal Di Malaysia


KUALA LUMPUR, 24 APRIL 2013: Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan Harian Metro untuk menganjurkan program “Mountain Bike Grand Prix 2013” ~ CC1M bagi merancakkan aktiviti berbasikal di Malaysia sekaligus meningkatkan promosi pelancongan berbasikal di Malaysia.
 
Objektif program ini bukan sahaja untuk membentuk ‘trend’ sukan “mountain bike” di kalangan rakyat Malaysia tetapi juga mempromosikan sukan tersebut sebagai sebahagian daripada inisiatif pelancongan sukan berbasikal.
 
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, YBhg Dato’ Haji Azizan Noordin dalam ucapannya berkata bahawa Tourism Malaysia amat gembira kerana adanya media seperti Harian Metro yang menunjukkan komitmen tinggi untuk sama-sama membantu merancakkan aktiviti pelancongan berbasikal.
 
“Selain itu, kami merasakan penganjuran program ini adalah bertepatan pada waktunya kerana 2013 merupakan tahun kempen promosi Tahun Melawat Malaysia 2014 dan kerjasama ini dapat memberi ruang kepada kami untuk menguar-nguarkankan kepada pembaca Harian Metro mengenai kempen tersebut.
 
“Apatah lagi saya difahamkan bahawa capaian untuk akhbar Harian Metro adalah lebih daripada empat juta rakyat Malaysia dan pastinya ini adalah medium terbaik untuk kami mempromosikan pelancongan domestik amnya dan pelancongan berbasikal khasnya,” sambung beliau lagi.
 
“Harian Metro Mountain Bike Grand Prix 2013” ~ CC1M akan dianjurkan di lima buah lokasi terpilih seperti Presint 15, Putrajaya (1-2 Jun), Pulau Duyung Besar, Kuala Terenggu (23-24 Ogos), Legoland, Nusajaya (28-29 September), Kellie’s Castle, Perak (26-27 Oktober) dan Selangor.
 
LATAR BELAKANG PELANCONGAN BERBASIKAL DI MALAYSIA
 
Pakej pelancongan berbasikal telah diperkenalkan di Malaysia oleh Kementerian Pelancongan dan Tourism Malaysia pada penghujung tahun 2011 di Putrajaya. Sejak itu, terdapat peningkatan yang ketara dalam aktiviti berbasikal berkonsepkan santai dan pelancongan di seluruh negara. Setakat ini, sebanyak 176 pakej pelancongan berbasikal telah dibangunkan dengan kerjasama 85 buah agensi pelancongan tempatan.
-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.