Monday 21 January 2013

Pulau Rebak bakal jadi 'Phuket' Malaysia


KUALA LUMPUR 20 Jan. - Pulau Rebak bakal menjadi salah sebuah pulau peranginan bertaraf dunia sama seperti Phuket dan Koh Samui di Thailand.

Pulau berkeluasan 350 ekar yang terletak di Langkawi itu dimiliki sepenuhnya oleh DRB-Hicom Bhd. dengan sebuah marina telah dibina dengan pelaburan mencecah RM200 juta. Ketua Pegawai Operasi DRB-Hicom (Perkhidmatan dan Hartanah), Datuk Mohamed Razeek Md. Hussain berkata, Pulau Rebak berpotensi besar dan masih banyak pembangunan mampu dilaksanakan.

Menurut beliau, DRB-Hicom tidak mempunyai masalah untuk membangunkan Pulau Rebak kerana pulau berkenaan memiliki keindahan semula jadi yang jarang terdapat di tempat lain. "Jika Thailand memiliki Phuket dan Koh Samui sebagai tarikan utama, kita mempunyai Pulau Rebak yang menawarkan pemandangan indah Laut Andaman.

"Pulau Rebak mampu menawarkan percutian bertaraf dunia dan mampu menarik minat golongan berstatus tinggi," katanya kepada pemberita semasa ditemui di Johor Bahru, baru-baru ini.

Mohamed Razeek yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Resources Corp. Bhd. (MRCB) telah dipertanggungjawabkan oleh DRB-Hicom bagi melonjakkan sektor hartanah kumpulan bermula September lalu. Beliau berkata, pembinaan fasa satu melibatkan sebuah marina telah dilaksanakan dan kini kumpulan merancang melaksanakan pembangunan fasa kedua dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2 bilion.

"Pembangunan ini akan memakan masa antara lapan hingga 10 tahun dan dijadualkan bermula paling awal pada tahun hadapan. "Keseluruhan pembangunan Pulau Rebak akan dilaksanakan dalam beberapa fasa. Untuk permulaan pembangunan akan dilakukan di sekitar marina.

"Projek ini sangat eksklusif dan memerlukan perancangan yang betul serta masa yang tepat. Sebab itu tempohnya agak lama," jelasnya. Fasa dua akan melibatkan pembinaan hartanah mewah dan vila dengan kepadatan rendah.

Pada sesi penerangan perancangan tiga tahun DRB-Hicom baru-baru ini, Ketua Pegawai Operasi, Kewangan, Strategi dan Perancangannya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, sektor hartanah bakal melancarkan projek dengan nilai GDV RM11 bilion, tidak termasuk Pulau Rebak.

"DRB-Hicom mempunyai potensi yang besar dalam sektor hartanah dan setakat ini hanya separuh keupayaan ditonjolkan. "Kami dengan mudah boleh melancarkan dan menjual semua projek berkenaan kerana permintaan di lokasi yang bakal dimajukan sudah ada," ujarnya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.