Sunday 27 January 2013

Percutian indah pinggir Laut Andaman



Bilik yang menghadap laut membolehkan tetamu hotel menikmati panorama laut dari katil masing-masing.

Sebagaimana keindahan Pulau Langkawi yang sudah termasyhur di seantero dunia, kemudahan penginapan yang terdapat di pulau legenda itu turut menjadi sebutan dan popular dalam kalangan pelancong.

Terdapat banyak jenis penginapan yang ditawarkan di pulau itu, daripada hotel bajet serendah RM80 semalam sehinggalah penginapan mewah.

Bagi mereka yang inginkan percutian eksklusif dan jauh dari suasana hingar-bingar maka Ombak Villa di Kuala Melaka adalah jawapan sesuai untuk memenuhi kehendak anda.

Ombak Villa merupakan sebuah hotel baharu yang dibangunkan oleh Tema Teladan Sdn. Bhd. dan Pujaan Pasific Sdn. Bhd, di kawasan seluas empat hektar dengan nilai pelaburan sebanyak RM48 juta. Seandainya menginap di bilik Ombak Villa, sebaik sahaja anda menyelak langsir jendela, mata anda akan disajikan dengan pemandangan indah lautan luas yang membiru.

Pemandangan indah Laut Andaman yang menyejukkan mata itu juga boleh disaksikan di atas katil yang sengaja diletakkan menghadap tingkap dan ini merupakan salah satu kelainan yang ditonjolkan di Ombak Villa.

Pemangku Pengarah Bahagian Pemasaran dan Jualan MK Land, Khairul Azda Abu Bakar berkata, Ombak Villa yang menawarkan 79 unit hotel mewah bercirikan seni bina tradisional Melayu itu, bakal menjadikan percutian pengunjung di Pulau Langkawi lebih bermakna.

Menurutnya, Ombak Villa dibina dalam dua fasa dengan 36 unit fasa pertama sedia menerima tempahan pada penghujung Mac ini, manakala selebihnya akan mula dibuka pada akhir September ini. Khairul Azda memberitahu Ombak Villa menawarkan 76 suite premier, selain dua unit suite bulan madu serta satu unit premier villa.

Menurutnya, Ombak Villa juga dilengkapi dengan ciri-ciri green feature yang mana kesemua unit penginapan menghadap Laut Andaman yang membiru, selain pantai persendirian untuk tetamu yang menginap di sini. "Jika kita lihat, Ombak Villa ini dipenuhi dengan ciri-ciri rumah tradisional Melayu di mana setiap unit dihiasi dengan kerawang bermotifkan hiasan Melayu.

"Pihak pengurusan memilih untuk menghiasi keseluruhan unit Ombak Villa ini dengan ciri-ciri rumah tradisional Melayu kerana mahu pelancong asing yang menginap di sini melihat sendiri keunikan hiasan Melayu," katanya.

Jelasnya, antara kemudahan lain yang disediakan di Ombak Villa adalah kolam renang, restoran, lobi dan laman dalam. "Hiasan dalaman bercirikan tradisional Melayu di Ombak Villa mendapat sentuhan daripada pereka fesyen dan hiasan dalaman terkemuka tanah air, Rizalman Ibrahim. "Songket yang merupakan antara kain tenun bermutu tinggi diketengahkan sebagai hiasan utama di setiap unit di Ombak Villa ini," jelasnya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.