Saturday 8 December 2012

T-Tas tambah kursus penuhi sumber pekerja industri pelancongan


Abdul Rahin Mohd. Said (dua dari kiri) sambil diperhatikan Ahmad Ramzi Abdul Rahman (kiri) membuat demonstrasi masakan selepas Majlis Penyampaian Sijil dan Graduasi T-TAS Kolej Inforana Holding di Kuala Terengganu kelmarin.

KUALA TERENGGANU 7 Dis - Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan untuk meluaskan Program Terengganu Tourism Apprentice Scheme (T-TAS) dengan menambah kursus dan bilangan pelajar bagi memenuhi sumber tenaga kerja dalam bidang industri pelancongan di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Warisan Negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, langkah itu selaras menjenamakan semula program berkenaan yang bukan sahaja tertumpu pada bidang perhotelan, pelancongan dan penyediaan makanan tetapi juga kepada industri kraftangan, batik, tembaga dan kesenian.

Menurut beliau, ini kerana pihaknya telah mengenal pasti kira-kira 85 peratus lepasan skim latihan berkenaan yang berpeluang mendapat pekerjaan dan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Sehingga kini, seramai 900 orang pelajar telah menamatkan latihan dan memperoleh sijil masing-masing di bawah program itu dan ketika ini seramai 100 peserta dilatih setiap sesi pengambilan dengan tempoh pengajian selama enam bulan. "Kita melihat kejayaan T-TAS sebagai platform dalam penyediaan sumber tenaga kerja dan peluang kemahiran amat bertepatan kerana industri pelancongan memberikan pulangan pendapatan yang tinggi kepada negeri.

"Tambahan pula bersempena Tahun Melawat Terengganu pada tahun depan sudah tentu memerlukan lebih ramai tenaga mahir dalam industri berkenaan bagi menyambut kedatangan pelancong," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sijil dan Graduasi T-TAS Kolej Inforana Holdings Sdn. Bhd., di Tok Jembal di sini semalam. Hadir sama, Pengarah Eksekutif Inforana Holdings Sdn. Bhd., Ahmad Ramzi Abdul Rahman.

Program T-TAS yang mula diperkenalkan pada 2008 dibiayai sepenuhnya Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk melatih anak-anak negeri ini terutama lepasan sekolah atau diploma bagi membolehkan mereka mendapat latihan dalam industri pelancongan. Sementara itu ujar Abdul Rahin, sasaran kerajaan negeri mahu menarik empat juta pelancong pada tahun depan akan mencapai matlamatnya kerana sehingga Oktober lalu kira-kira 3.9 juta orang berjaya telah datang ke negeri ini.

Menurut beliau, antara lokasi tumpuan ialah Tasik Kenyir yang kini menunjukkan peningkatan kunjungan pelancong ketara terutamanya pada musim tengkujuh memandangkan pulau percutian lain di Terengganu telah ditutup kerana keadaan laut yang bergelora. "Sehingga Ogos lalu, tasik buatan manusia itu mencatatkan kehadiran 269,863 pengunjung dan jumlah itu dijangka meningkat 20 peratus sepanjang musim tengkujuh," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Hasrul Awang, 25, yang kini bertugas sebagai tenaga pengajar di Pusat Giat Mara, Pulau Kerengga, Marang dipilih sebagai penerima Anugerah Khas-Jejak Khalifah.

Turut berlangsung pada acara itu ialah majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Inforana Holding Sdn. Bhd., dengan sembilan agensi termasuk perhotelan, restoran dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sambil disaksikan oleh Abdul Rahin. Antara agensi yang terlibat termasuk Sumai Suite Hotel, Felda Residence, Sutera Beach Resort, Taman Tamadun Islam (TTI) dan Persatuan Pelancongan Negeri bagi membolehkan pelatih skim berkenaan menjalani latihan praktikal bersama mereka.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.