Saturday 8 December 2012

Kampung Fun Ride, Padang Terap cukup meriah


Roslan Othman (tiga dari kanan) menyerahkan tajaan akhbar Utusan Malaysia sebanyak 1,000 naskhah kepada Eksekutif Pemasaran Utusan Malaysia Alor Setar, Mohd. Shukri Hamad (dua dari kanan) di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 7 Dis. - Buat julung kali, Tourism Malaysia Kedah dan Pusat Komuniti Dewan Undangan Negeri Pedu menganjurkan program Kampung Fun Ride, Padang Terap 2012 bermula di Dataran Kuala Nerang dan berakhir di Homestay D'Belimbing hari ini.

Acara merupakan program kayuhan berkonsepkan family fun ride sejauh 15 kilometer (km) dan peserta program berbasikal berpeluang melawat beberapa produk pelancongan menarik di daerah Padang Terap. Pengarah Tourism Kedah, Roslan Othman berkata, program itu bertujuan mempromosi produk pelancongan di sekitar Padang Terap selain diharapkan menjana pendapatan penduduk tempatan melalui aktiviti itu.

"Program juga bertujuan memperkenalkan pakej pelancongan berbasikal di Padang Terap dan menggalakkan gaya hidup sihat serta memupuk semangat bersukan dalam kalangan segenap lapisan masyarakat di Kedah selaras dengan dasar kerajaan. "Apatah lagi trend pelancongan berbasikal kini sedang berkembang dengan pesatnya di serata dunia," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, antara tempat menarik yang akan dilawati peserta ialah Tasik Pedu, ladang rusa, Pusat Pemprosesan Madu Lebah Tualang (House Of Honey), Homestay D'Belimbing, Muzium Pertukangan Peralatan Padi dan air terjun Puncak Janing.

"Program ini dijangka disertai oleh 1,000 orang peserta. Penyertaan bagi program ini adalah terbuka kepada segenap lapisan masyarakat termasuk kelab berbasikal dari seluruh Negeri Kedah dan Malaysia, agensi-agensi kerajaan, pelajar-pelajar dari institusi pendidikan di Negeri Kedah serta seisi keluarga. "Tourism Malaysia Kedah akan menyediakan 500 helai kameja T khas Kampung Fun Ride, Padang Terap 2012 kepada 500 peserta terawal," katanya.

Katanya lagi, hadiah menarik bagi cabutan bertuah juga disediakan kepada peserta yang bertuah selain hadiah bagi kategori khas termasuk 'Hiasan Basikal Paling Kreatif' dan 'Pakaian Paling menarik/unik'. "Majlis pelancaran program ini akan disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Dataran Kuala Nerang," katanya.

Beliau berkata, bagi memeriahkan program, Tourism Malaysia Kedah turut menaja sebanyak 1,000 naskhah Utusan Malaysia untuk diedarkan kepada peserta program. Yuran pendaftaran dikenakan sebanyak RM10 kepada dewasa dan RM5 kepada pelajar-pelajar sekolah.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.