Sunday 14 October 2012

Percutian eksklusif tanpa gangguan



Kelesaan dan kepuasan optimum sentiasa menjadi matlamat Cyberview Lodge Resort & Spa, Cyberjaya.

JIKA sesiapa masih tercari-cari tempat untuk melarikan diri daripada kesibukan kerja dan menghabiskan cuti hujung minggu bersama keluarga tercinta, mungkin boleh 'melarikan diri' ke satu-satunya calet yang terdapat di Cyberjaya. Terletak berdekatan dengan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, pengunjung hanya perlu memandu kurang 10 minit untuk ke Cyberview Lodge Resort & Spa.

Malah, lokasinya juga tidak sukar ditemui jika datang dari arah Kuala Lumpur, Selangor mahu pun Negeri Sembilan. Hanya perlu menggunakan lingkaran lebuh raya Maju Expressway (MEX) yang menghubungkan Kuala Lumpur-Putrajaya atau Kuala Lumpur-Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pengunjung sudah nampak papan tanda ke arah resort itu.

Menampilkan percutian eksklusif, resort lima bintang ini mempunyai sebanyak 68 bilik berkonsep calet mewah serta masing-masing dua bilik suite dan banglo. Walaupun, harga yang ditawarkan berbeza tetapi cukup berbaloi.

Untuk pasangan pengantin baru, resort tersebut turut menawarkan sebuah bilik eksklusif bulan madu dan Presidential Suite yang berlatarbelakangkan pemandangan indah serta dilengkapi dengan jakuzi.

Pengunjung pasti berpuas hati dengan hiasan dalaman dan aturan bilik-bilik di sini yang turut dilengkapi dengan kemudahan terkini termasuk Wi-Fi bagi memberikan keselesaan serta kepuasan optimum kepada pengunjung.
Bagi yang mahukan percutian eksklusif tanpa gangguan, resort ini juga menawarkan daftar masuk tanpa perlu ke lobi. Apa yang perlu dilakukan hanyalah menghubungi pegawai bertugas.

Jika berasa lapar dan mahu mencari makanan, pengunjung tidak perlu bersusah payah keluar. Di sini terdapat tiga jenis restoran yang pasti membuatkan pengunjung berpuas hati dan rasa berbaloi. Bagi tetamu yang meminati hidangan dari Itali, boleh cuba sajian Italian fusion di Bistro Cascata untuk makan tengah hari dan malam.

Sempena promosi sepanjang bulan Julai hingga 27 Oktober ini, pengunjung boleh merasai hidangan istimewa hasil 'air tangan' juara Masterchef Selebriti, Datuk Fazley Yaakob dengan harga hanya RM85++ untuk tiga set makan malam.

Para pengunjung juga boleh menikmati makanan di restoran Verandah untuk sarapan dan waktu-waktu lain dengan latar belakang taman yang menakjubkan. Terdapat juga restoran Cina, Xing Zhu bagi mereka yang menggemari masakan Cina seperti dim sum dan hidangan Kantonis untuk hidangan tengah hari serta malam.

Selepas seharian bermesyuarat dan berkunjung ke lokasi pelancongan, berehat sebentar sambil menikmati urutan pasti memberikan ketenangan, sekali gus dapat melegakan otot yang tegang.

Mahu merasai pengalaman itu? Sembunyi Spa adalah tempatnya. Sembunyi Spa menawarkan pelbagai rawatan meliputi terapi urutan muka, badan dan aromaterapi bagi mereka yang mahu memanjakan diri selepas seharian sibuk bekerja.

Bagi pengunjung yang mahu bersantai sambil mendengar alunan muzik, bar Karma adalah jawapannya. Jika mahu beriadah, kolam renang yang disediakan cukup luas dan sangat sesuai untuk golongan dewasa serta kanak-kanak, selain gelanggang tenis dan gimnasium.

Untuk kaki pancing pula, mereka boleh mencuba nasib di kolam yang terletak betul-betul di belakang Sembunyi Spa. Tidak perlu bersusah payah membawa joran, semuanya ada tersedia di situ, siap dengan umpan, bayaran hanya RM10 sejam.

Sementara itu, persekitaran dan kemudahan yang dimiliki turut membolehkan pengunjung memilih tempat yang sesuai untuk mengendalikan mesyuarat, seminar, konvensyen dan lain-lain kegiatan perniagaan. Antara kemudahannya adalah dewan Ballroom yang mampu memuatkan kira-kira 400 tetamu pada satu-satu masa. Di samping itu, resort itu turut mempunyai bilik mesyuarat serba guna untuk acara berskala kecil. Bilik itu dilengkapi dengan sistem audio, visual dan pencahayaan berteknologi tinggi.
-utusan online.
www.cyberview-lodge.com

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.