Thursday 25 October 2012

Cuti-Cuti 1Malaysia NIGHT TOURISM FAIR Kembali Lagi!




SHAH ALAM, 23 OKT 2012: Tourism Malaysia menyasarkan seramai 70,000 pengunjung dengan jualan keseluruhan pakej pelancongan domestik sebanyak RM400,000 pada edisi kedua Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) Night Tourism Fair yang akan diadakan pada 2 hingga 4 November 2012 di i-City, Shah Alam.

Sasaran yang ditetapkan ini adalah bersandarkan kepada sambutan memberangsangkan daripada orang ramai pada edisi sulung CC1M Night Tourism Fair pada tahun 2011 yang melibatkan 66 pempamer daripada pelbagai agensi pelancongan dan pengusaha produk pelancongan yang telah berjaya menjual sebanyak 992 buah pakej jualan bernilai RM218,024.82 sepanjang tiga hari pameran berlangsung, manakala dianggarkan sebanyak 40% lagi terjual selepas pameran berlangsung.

Pada tahun ini, 68 organisasi yang terdiri daripada pelbagai agensi pelancongan tempatan, organisasi perhotelan, sektor pengangkutan serta agensi-agensi berkaitan akan menyertai pameran pelancongan domestik waktu malam ini.

CC1M Night Tourism Fair kali ini akan turut menyelitkan acara ‘Karnival Homestay Selangor’ bagi meningkatkan promosi inap desa di kalangan para pelancong domestik dan ekspatriat. Para pengusaha inap desa yang terlibat akan mempamerkan pelbagai produk dan pakej sambil membuat demonstrasi kraftangan serta persembahan kebudayaan tradisional yang menjadi tarikan di kampung masing-masing seperti kuda kepang, cempuling, ghazal dan sebagainya.

Para pengunjung pameran pelancongan ini akan turut dihiburkan dengan pelbagai segmen menarik seperti persembahan pelbagai artis tempatan, alunan permainan angklong, persembahan kebudayaan Mah Meri dan persembahan Boboiboy selain terdapat pertandingan mewarna, melukis karikatur, seni lukisan pasir, kuiz pelancongan dan pelbagai lagi persembahan menarik.

CC1M Night Tourism Fair merupakan salah satu usaha Tourism Malaysia untuk membantu mempromosikan pelbagai produk pelancongan domestik secara lebih bersepadu di samping memperkasakan lagi kempen domestik Cuti-Cuti 1Malaysia di kalangan masyarakat tempatan.

Pameran pelancongan domestik ini juga diadakan pada waktu malam supaya lebih santai dan memudahkan orang ramai untuk membeli pelbagai pakej pelancongan domestik secara terus pada harga yang kompetitif dan berpatutan. Pameran selama tiga hari ini akan bermula dari jam 5.00 petang dan berakhir pada pukul 12.00 tengah malam.

Timbalan Menteri Pelancongan Malaysia, YB Dato Dr. James Dawos Mamit dijangka akan merasmikan pameran pelancongan Cuti-Cuti 1Malaysia Night Tourism Fair pada 2 November 2012, jam 8.00 malam bertempat di i-City, Shah Alam, Selangor.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi Tourism Malaysia - Selangor di talian 03-5510 9100.
-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.