Wednesday 4 July 2012

Putrajaya bergemerlapan

PERCIKAN bunga api menerangi Tasik Putrajaya pada acara Magic of the Night.


Putrajaya terus mengekalkan rekod cemerlang mencipta panorama indah untuk disajikan kepada pengunjung Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sepanjang 30 Jun hingga 8 Julai ini dengan penganjuran Perarakan Malam Flora Pelancongan Antarabangsa 1Malaysia yang bertemakan Magic of the Night. Sekiranya di sebelah siang pengunjung berpeluang menyaksikan deretan taman-taman bunga berwarna- warni, di sebelah malamnya pula perarakan bot berhias menyusuri Persisiran Tasik Putrajaya yang berhampiran dengan tapak Floria.


Pengunjung pasti akan terpesona dengan simbahan cahaya penuh warna-warni 15 bot berhias yang menyertai acara Magic of the Night pada setiap malam sepanjang Floria 2012 berlangsung. Tidak cukup dengan itu, perarakan bot berwarna-warni turut diserikan dengan pertunjukan bunga api yang menghiasi langit malam pusat Kerajaan Persekutuan ini. Gabungan pertunjukan bunga api, perarakan bot berhias dan pameran bunga-bungaan ternyata berjaya menarik puluhan ribu pelancong asing dan tempatan pada malam pertama acara Magic of the Night dimulakan.


Sememangnya perarakan bot berhias, pertunjukan bunga api serta pertunjukan pentas Kementerian Pelancongan menjadi antara acara paling dinantikan oleh semua pengunjung ke acara Magic of the Night ini. Aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan sepanjang sembilan hari acara ini berlangsung adalah program 1Malaysia Bersih 1Malaysia Indah, pertandingan fotografi bot berhias dan persembahan muzik dan kebudayaan. Manakan tidak pengunjung sanggup menunggu seawal pukul 6 petang di sekitar persisiran Tasik Putrajaya terutama berhampiran Monumen Alaf Baru, Presint 2, di sini semata-mata mahu menyaksikan sendiri keunikan dan keindahan perarakan bot berhias kali ini.


Menterinya, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, program kali kedua diadakan itu bagi memeriahkan lagi Floria 2012 dan menjadi ikon serta produk terbaru pelancongan negara.
Beliau berkata, sebanyak 15 buah penyertaan termasuk Kenya dan Suzhou (China), negeri Perak, Johor, Melaka, Terengganu, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Pahang dan Perlis serta Perbadanan Putrajaya (PPj), Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Kementerian Pelancongan Malaysia dan Tourism Malaysia menyertai perarakan bot berhias pada kali ini. Sasaran kunjungan ke acara Magic of the Night ini adalah seramai satu juta orang, kata beliau. "Kita akan membuat pertunjukan ini dalam bentuk pertandingan dengan penonton sendiri akan memilih bot yang dirasakan mampu memenangi empat kategori dipertandingkan iaitu bot tercantik, bot paling kreatif, bot popular dan bot terbaik keseluruhan," katanya ketika perasmian bot berhias berkenaan baru-baru ini.


Acara Magic of the Night turut mencatat sejarah apabila Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidon berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis perasmiannya.
Dalam pada itu, katanya, penganjuran perarakan bot berhias itu juga bertujuan memperkenal dan mempromosikan seni budaya dan warisan tradisional rakyat Malaysia kepada pelancong asing serta memupuk semangat cintai alam sekitar dalam kalangan masyarakat setempat. Selain itu, katanya, kementerian sedang giat memperkenalkan usaha-usaha baru yang berinovatif dan kreatif bagi memastikan sektor ini kekal menjadi salah satu penyumbang utama kepada ekonomi negara.


"Kementerian Pelancongan juga sedang berusaha gigih untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua, dengan sokongan pihak-pihak lain secara langsung atau tidak langsung," katanya. Acara Magic of the Night dibuka kepada umum mulai Sabtu lalu hingga 8 Julai dari pukul 8.30 malam hingga 10.30 malam. Masuk adalah percuma.
-Utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.