Wednesday 4 July 2012

Floria Putrajaya semai rasa cinta pada tumbuhan

Dr. Ng Yen Yen tertarik melihat bunga kertas pelbagai warna ketika melawat Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2012, semalam.


PUTRAJAYA 3 Julai - Penganjuran Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria 2012) yang bermula 30 Jun lalu adalah pentas terbaik buat penggubah dan peminat hiasan taman mengaplikasikan pelbagai konsep hiasan yang dipamerkan di kediaman mereka.


Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, tujuan penganjuran festival itu bukan sahaja untuk mempromosikan pelbagai bunga dan gubahan tempatan ke peringkat antarabangsa, malah ia dapat membangkitkan perasaan cinta kepada tumbuhan-tumbuhan.
Menurutnya, festival kali ini turut disertai oleh 16 peserta antarabangsa dari 14 negara antaranya Australia, Taiwan, Indonesia, Hong Kong, Rusia, Filipina, United Kingdom (UK), China dan Belanda. "Pengunjung yang hadir ke festival ini akan dapat mengenali perbezaan gubahan di antara setiap negara dan ini boleh diaplikasikan di kediaman mereka bagi menambah lagi keunikan dan keindahan persekitaran rumah mereka.


"Justeru, mereka yang hadir ke festival ini bakal didedahkan dengan teknik dan gubahan pelbagai negara yang mana setiap negara pasti mempunyai keunikan dan kelainan tersendiri berbanding gubahan di Malaysia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Menurutnya, cuaca Malaysia yang panas dan hujan sepanjang tahun membolehkan pelbagai jenis bunga yang ditanam mekar sepanjang tahun dan tidak bermusim seperti di Eropah.
"Pastinya gubahan dan hiasan bunga-bungaan akan menambahkan lagi seri dan keindahan persekitaran rumah di negara ini sepanjang tahun," ujarnya.


Tambah Yen Yen, kehadiran pengunjung yang dicatat sejak festival bermula sudah melebihi sejuta orang kerana ia berlangsung sepanjang hari bermula awal pagi hingga tengah malam.
"Pada sebelah pagi, pengunjung boleh melihat pelbagai aktiviti yang disediakan antaranya pameran gubahan bunga, persembahan tarian tradisional serta demonstrasi dan bengkel.
"Pada waktu malam pula, pengunjung boleh menonton Perarakan Malam Flora Pelancongan Antarabangsa 1Malaysia yang bertemakan acara Magic of the Night yang diadakan setiap hari," jelasnya.


Acara Magic of the Night yang bermula pada pukul 8.30 malam disertai 15 bot berhias mewakili pelbagai agensi dan badan berkanun serta dua penyertaan dari luar negara iaitu Kenya dan China. Waktu pameran Floria Putrajaya 2012 untuk hari Isnin hingga Khamis bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam manakala hari Jumaat hingga Ahad dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah malam dan masuk adalah percuma. Festival selama 10 hari yang bermula 30 Jun lalu akan berakhir Ahad ini.
-Utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.